Beri insentif parti politik letak 30 peratus calon wanita

Iklan
Aiman Athirah (tengah) merasmikan Konvensyen AWAN Selangor di Pusat Konvensyen Sungai Renggam Seksyen 18 di sini, pada Ahad.

SHAH ALAM - Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) mencadangkan pemberian insentif kepada parti politik yang menyediakan 30 peratus wanita sebagai calon pilihan raya atau dalam kepimpinan utama.

Ketua AWAN Nasional, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, dasar 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan sama ada dalam politik, ekonomi dan sosial telah diguna pakai sejak 1995.

Iklan
Iklan

Menurutnya, angka itu telah dicapai menerusi sektor ekonomi dan sosial tetapi tidak dalam bidang politik.

"Saya yakin di bawah kepimpinan Kerajaan Madani, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jauh lebih serius berkenaan isu ini dan kita perlu mekanisme jelas supaya sasaran itu dapat dicapai.

Iklan

"Jika setiap parti letak 30 peratus calon wanita peringkat pilihan raya, saya yakin sasaran pemimpin wanita peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen boleh dicapai," katanya ditemui pada Konvensyen AWAN Selangor di Pusat Konvensyen Sungai Renggam Seksyen 18 di sini, pada Ahad.

Aiman Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, untuk ke arah itu, satu mekanisme baharu perlu dilakukan melalui pemberian insentif selain pindaan Akta Pilihan Raya.

Iklan

"Mana-mana parti yang berjaya berjaya hantar 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan atau berada dalam komposisi kepimpinan utama maka parti itu layak menerima insentif

"Insentif itu boleh berbentuk kewangan kerana semua parti memerlukan dana.

"Ini merupakan satu kaedah mudah kerana kita tidak boleh menyerahkan sepenuhnya kepada parti, sebaliknya mesti ada peraturan dan insentif ke arah itu," katanya.

Mengulas lanjut katanya, jika pemerkasaan wanita dalam sektor ekonomi boleh diberikan insentif maka kaedah sama turut boleh digunakan dalam bidang politik

"Perkara ini telah dibincangkan dengan kepimpinan tertentu dan mendapat reaksi positif namun ia tidak boleh bincang begitu saja tetapi perlu berstruktur.

"Insya-ALLAH, saya dengan Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad telah berbincang, mencari jalan supaya perkara ini dapat dilaksana.

"Perkara ini tidak perlu ditunggu lagi, ia perlu didatangkan dalam nota jemaah menteri dalam mesyuarat kabinet sama ada dibawa oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, kemudian ke peringkat pelaksanaan," katanya.

Ujarnya, beliau yakin angka 30 peratus mampu disediakan berdasarkan pengukuhan golongan wanita antara paling ramai di menara gading.

Tambahnya, di peringkat Amanah, sebanyak 26 peratus wanita telah diletakkan sebagai calon dalam pilihan raya lalu.

"Walaupun tidak mencapai 30 peratus tetapi pencalonan wanita mewakili Amanah lebih besar berbanding parti-parti lain.

"30 peratus itu pun sukar dicapai bagaimana angkat tersebut mahu ditingkatkan, malah parti-parti lain masih jauh dari angka tersebut," katanya.