SHAH ALAM - Kerja-kerja penggalian dan pemindahan kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini yang dijadualkan pada Isnin ditangguhkan pada 14 November ini.
Seorang waris, Zafirah Zakaria, 34, berkata, pihak berwajib yang melaksanakan kerja-kerja itu menangguhkan kerja penggalian berikutan terdapat beberapa laporan polis dibuat waris sejak Jumaat lalu.
Menurutnya, kerja-kerja penggalian kubur itu hanya dimaklumkan oleh penggali kubur kariah kampung terbabit.
"Kami tidak menerima apa-apa maklumat atau notis daripada pihak JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) mengenai kerja penggalian kubur pada Isnin ini.
"Kami membuat laporan polis bagi membantah dan menghentikan kerja serta-merta kerana tidak dimaklumkan lebih awal serta persetujuan daripada waris terlibat," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurut Zafirah, rata-rata waris masih tidak bersetuju tanah perkuburan itu dipindahkan bagi memberi laluan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Justeru, katanya, JAIS digesa memanggil semua waris terlibat termasuk mengadakan satu mesyuarat khas sebelum pelaksanaan bagi kerja-kerja penggalian dilakukan.
"Kami hendak menyaksikan sendiri kerja pemindahan dan pengalihan ini dilakukan dengan sempurna.
"Kita tidak mahu hanya batu nisan sahaja yang dialihkan, sebaliknya jenazah masih berada di bawah tanah yang menjadi landasan laluan ECRL," jelasnya.
Katanya, dia antara waris terlibat berikutan anaknya yang berusia empat tahun dikebumikan di tanah perkuburan itu sejak dua tahun lalu.
Ujarnya, berdasarkan fatwa dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Selangor pada 1986 adalah haram mengalihkan kubur yang jasadnya belum reput.
"Saya meminta penjelasan JAIS mengenai fatwa terbabit lebih-lebih lagi anak saya masih dua tahun dikebumikan di tanah perkuburan ini dan mengapa pemindahan ini ingin dilakukan secara senyap serta tergesa-gesa tanpa pengetahuan waris yang mana perkara ini merupakan isu sangat sensitif.
"Tiada sebarang usaha perundingan atau sebarang pemakluman dilakukan oleh pihak berwajib kepada 90 waris yang terkesan selepas perjumpaan di Dewan Hamzah pada Mei lalu gagal mencapai kata sepakat," tegasnya.
Artikel berkaitan:
1. Isu tapak kubur Selat Klang: 57 daripada 90 waris sudah dikenal pasti
2. Projek ECRL: Waris 31 lot kubur masih gagal dikesan
3. Waris tetap bantah pindah kubur untuk ECRL
4.Isu tanah kubur Selat Klang: Waris, ahli keluarga mohon tangguh lagi
5. Tangguh seminggu tidak realistik, tergesa-gesa - Ahli Parlimen Kapar
6. Projek ECRL: 'Jangan ambil mudah, salahkan pentadbiran terdahulu'