KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) akan menjadi kelab pertama mempunyai hospital sendiri sebagai salah satu sumber pendapatan sekiranya DSAT Group Sdn Bhd dapat mengambil alih kelab itu melalui anak syarikatnya Mahsuri Medical Centre (MMC).
Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek berkata, dengan ini KDA FC akan mempunyai saham sebanyak 40 peratus dalam hospital swasta terbabit.
Beliau berkata, banyak lagi syarikat yang akan dimiliki oleh KDA FC sekiranya DSAT Group mengambil alih KDA FC sebagai sumber kewangan kelab supaya tidak berharap kepada tajaan orang semata mata dan bantuan kerajaan negeri.
"Kita akan menaik taraf sehingga 200 katil di Mahsuri Medical Centre dan memfokus pendapatan tahunan sebanyak RM500 juta.
"Sekiranya ini direalisasi dalam tiga tahun mendatang, KDA FC boleh setanding dengan kelab-kelab yang lain. Ini harapan saya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Azizul berkata, pihaknya berharap pengambil alihan KDA FC ini lahir dari keikhlasan dan niat dari pemilik-pemilik saham atas dasar tanggungjawab pada rakyat dan negeri mereka sendiri memandangkan modal berbayar KDA FC hanya RM1,000 sahaja.
Sehubungan itu, Azizul melahirkan harapan KDA FC khasnya pemilik majoriti bersetuju diikuti dengan pemegang saham yang lain.
Beliau berkata, ia memandangkan Exco Belia dan Sukan, Mohamad Radhi Mat Din yang juga pemegang saham 21 peratus telah bersetuju melepaskan pegangannya.
Katanya lagi, semua maklum bahawa KDA mempunyai liabiliti dan tidak ada rekod cantik untuk dinilaikan dalam setiap perlawanan apabila kalah beberapa termasuklah terbaru pada Sabtu.
Menurut Azizul, pihaknya akan membuat rombakan dari peringkat pengurusan hinggalah pemain sekiranya DSAT dapat mengambil alih KDA FC.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mahsuri Medical Centre, Dr Zaki Zamani Abd Rashid berkata, pihaknya bersetuju menerima tawaran yang dibuat Exco Belia dan Sukan Kedah untuk pengambilalihan 100 peratus saham KDA FC.
"Ia termasuk liabilitinya tertakluk dengan terma dan syarat-syarat perjanjian yang akan dimeterai di antara kedua-dua belah pihak kelak,"katanya menerusi surat rasmi kepada Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC,Mohamad Faidhi Mohd Rohdzi pada Ahad,
Beliau berkata, keputusan itu susulan perbincangan sewaktu pertemuan antara Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT Group Sdn Bhd dan Exco Belia dan Sukan Kedah yang merupakan salah seorang pemegang saham KDA FC sebanyak 21 peratus pada 24 Oktober lepas di Eastin Hotel Kuala Lumpur yang menyatakan hasrat agar DSAT Group Sdn Bhd mengambilalih KDA FC.
Menurutnya, pihak MMC yang merupakan anak syarikat DSAT Group Sdn Bhd mendapat arahan daripada Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT Group,Datuk Seri Azizul Tandek bagi menyatakan minat bagi pengambilalihan saham KDA FC melalui surat ini.