4 syarikat dikenakan tindakan lupus cetakan al-Quran secara tidak sah

Iklan
Nik Yusaimi (tiga dari kanan) melepaskan abu Al-Quran ke laut pada Program Pemuliaan (Pelupusan) Abu Al-Quran di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 di perairan Pulau Angsa, hari ini. - Foto: Bernama

KLANG - Empat syarikat termasuk pengusaha kilang dikenakan tindakan undang-undang selepas didapati melupuskan bahan cetakan teks al-Quran secara tidak sah tahun ini.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Nik Yusaimi Yussof berkata, antara kesalahan dikesan melibatkan penjualan bahan atau kertas cetakan itu kepada pengilang untuk dijadikan bahan lain seperti tisu tandas dan pembalut barangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kes terbaharu dikesan melibatkan syarikat yang menjual bahan itu kepada sebuah kilang memproses kertas di sekitar USJ, Subang Jaya bulan lalu.

"Siasatan mendapati pihak terlibat disyaki mengumpul bahan itu dan turut mengedarkannya ke kilang lain di Melaka dan Pulau Pinang.

Iklan

"Kesalahan itu jelas menyalahi peraturan mengikut Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1983 (Pindaan) 2023 yang memperuntukkan denda maksimum sehingga RM50,000 atau penjara lima tahun, jika sabit kesalahan,” katanya.

Nik Yusaimi (tengah) ketika sidang akhbar Program Pemuliaan Abu Al-Quran yang di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pelabuhan Klang pada Ahad. - FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar program Pemuliaan Abu al-Quran di Jeti Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Pulau Indah di sini pada Ahad.

Iklan

Terdahulu, beliau mengikuti proses pelupusan sebanyak 15 tan abu bahan dan teks al-Quran di sekitar Pulau Angsa, Kuala Selangor.

Jelasnya, KDN turut mengesan tiga lagi kes lain seumpama itu termasuk yang sudah didakwa di mahkamah Pulau Pinang dan kesemuanya dikenakan tindakan tegas.

Pelupusan secara tertib yang turut disertai PPM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu disempurnakan pada kedudukan kira-kira 13 batu nautika dengan kedalaman 10 meter selesai sepenuhnya pada jam 11.30 pagi.

Menurut Nik Yusaimi, pihaknya memberi amaran kepada semua pihak termasuk pemilik kilang supaya tidak sesekali terlibat dalam kegiatan berkenaan.

"Mana-mana syarikat atau individu yang mempunyai al-Quran, bahan cetakan atau teks itu tidak boleh sewenang-wenangnya melupuskannya secara tidak sah.

"Kesalahan itu turut termaktub kepada pengusaha kilang dan mereka perlu segera melaporkannya kepada KDN atau jabatan agama negeri bagi tindakan lanjut," ujarnya.

Tambah beliau, kaedah pemuliaan pelupusan yang digunakan ketika ini meliputi proses pengabuan dan pelepasan ke laut, ditanam di tempat sunyi dan menyahkan dakwat tulisan pada kertas Al-Quran.

"Kita telah melupuskan lebih 29 tan abu bahan itu di Pahang, Terengganu, Sarawak dan Kelantan selain mempergiatkan program Jom Exchange Al-Quran (JEQ) iaitu pengumpulan naskah tiada perakuan KDN secara sukarela.

"Kaedah secara sempurna dan tertib itu perlu dilakukan bagi mengelak berlaku salah faham umat Islam mengenai isi kandungan al-Quran itu dan bersesuaian dengan Rasm Uthmani," katanya.