BUTTERWORTH - Keluarga kepada remaja yang maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit dalam sebuah ekspres pada Jumaat lalu reda dengan ujian yang dihadapi mereka.
Meskipun sedih dan masih terkejut dengan nasib yang menimpa, nenek mangsa, Salmiah Humzah, 82, enggan memperbesarkan perkara itu dan menganggap apa yang berlaku terhadap cucunya, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, sebagai suratan takdir.
Menurutnya, Asymawi dan tiga lagi adiknya memang tinggal bersamanya sejak kecil lagi berikutan keadaan bapa mereka yang kurang sihat.
"Tak apa lah...Tok reda kerana sudah sampai masanya ALLAH nak ambil balik cucu Tok," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Mesra Bagan Lalang, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Salmiah berkata, dia tidak mengetahui tujuan Asymawi pergi ke Kuala Lumpur dan terkejut selepas menerima panggilan telefon daripada polis yang memaklumkan insiden menimpa cucunya itu.
"Sebelum ini, dia kata nak pergi berjalan jauh tetapi masa itu ingat dia melawak sebab perangai dia memang mesra dan suka mengusik.
"Tapi tak lama selepas itu, polis hubungi cucu tok yang lain (sepupu Asymawi) dan beritahu Asymawi dah tak ada (meninggal dunia) sebab terkena renjatan elektrik dalam bas," katanya.
Pada Sabtu Sinar Harian melaporkan seorang remaja maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya menggunakan soket di dalam sebuah ekspres di Terminal Bas Penang Sentral, Butterworth pada jam 7.40 malam, Jumaat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, maut di tempat kejadian dengan kecederaan pada jari tangan sebelah kiri.
Difahamkan, jenazah Mohamad Nur Asymawi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Puyu, di sini, selepas Solat Asar pada Sabtu.