DES MOINES - Calon Demokrat, Kamala Harris mendahului Donald Trump dengan margin tipis menerusi tinjauan terbaharu dikeluarkan Des Maines Register/Mediacom Iowa diterbitkan pada Sabtu.
Keputusan mengejutkan itu dijangka bakal menyaksikan Harris 'merampas' negeri Midwestern di Amerika Syarikat (AS) tersebut daripada Trump yang pernah mencatatkan kemenangan pada pemilihan 2016 dan 2020.
Harris dilaporkan meraih 47 peratus undi berbanding Trump yang memperoleh 44 peratus undi berdasarkan keputusan kaji selidik dilakukan pada 28-31 Oktober lalu oleh Selzer & Co melibatkan kira-kira 808 pengundi di Iowa.
Tinjauan pendapat pada September menunjukkan Trump mendahului dengan 47 peratus manakala pesaingnya memperoleh 43 peratus.
Calon Republikan (GOP) itu dikatakan meraih 50 peratus sokongan pengundi di Iowa pada Jun lalu apabila Presiden Joe Biden mengumumkan dirinya sebagai calon Demokrat.
Menurut laporan Register, golongan wanita yang dikenal pasti sebagai pengundi bebas menjadi faktor utama peralihan sokongan daripada Trump kepada Harris.
Susulan persaingan yang semakin sengit, kem Republikan masih berusaha mengekalkan populariti Trump di negeri berkenaan bagi memastikan beliau menang buat kali ketiga berturut-turut.
Sejak beberapa minggu lalu, wakil Republikan termasuk Senator Joni Ernst dan anggota Dewan Perwakilan, Ashley Hinson telah berkunjung ke swing states (negeri penentu kemenangan) seperti Pennsylvania dan Georgia untuk memancing undi.
Trump dan Harris turut mengambil peluang untuk mempergiatkan kempen masing-masing di swing states pada minggu akhir sebelum Pilihan Raya Presiden AS berlangsung pada Selasa.
Pengerusi Parti Demokrat di Iowa, Rita Hart memberitahu keputusan tinjauan pendapat itu memberi harapan kepada mereka untuk 'merampas' negeri itu daripada Republikan.
"Walaupun Harris berada di kedudukan yang baik, ia bukanlah mempengaruhi sepenuhnya keputusan pada hari pemilihan sebenar,” ujarnya.
Tetapi, Pengerusi GOP di Iowa, Jeff Kaufmann mempertikaikan ketepatan keputusan tersebut malah membandingkannya dengan kaji selidik oleh Emerson College yang menunjukkan Trump mendahului Harris dengan 53 peratus.
"Tinjauan dikeluarkan Emerson College lebih menggambarkan situasi sebenar pengundi di Iowa dengan menggunakan kaedah lebih telus,” katanya.
Pemimpin Minoriti Dewan Perwakilan, Jennifer Konfrst pula berpendapat tinjauan pendapat Iowa perlu dihormati dan tidak perlu dipertikaikan hanya kerana ia tidak berpihak kepada parti yang meraih kemenangan sebelum ini.
Menurutnya, kaji selidik itu akan mendorong pengundi Demokrat dan penganjur agar lebih bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab mereka dalam menentukan hala tuju demokrasi negara tersebut. - Agensi