SHAH ALAM - Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap enam syarikat Malaysia yang didakwa ada kaitan dengan sektor pembuatan Rusia.
Jabatan itu berkata, enam syarikat yang disenaraikan itu adalah Zeolite Mansford Sdn Bhd, Centrina United Sdn Bhd, Gyntec Carbon Sdn Bhd, Moralability Industry Sdn Bhd dan Melix Global Sdn Bhd.
"Semua sasaran ditetapkan menurut Perintah Eksekutif (EO) 14024 yang membenarkan sekatan berkenaan dengan aktiviti asing berbahaya tertentu kerajaan Rusia.
"Kami akan terus menggunakan semua kaedah untuk menyekat sokongan terhadap pangkalan industri ketenteraan Rusia dan menyekat keupayaan Kremlin untuk mengeksploitasi sistem kewangan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, pentadbiran Joe Biden menambah 40 syarikat dan institusi penyelidikan ke dalam senarai sekatan perdagangan atas dakwaan sokongan mereka terhadap tentera Rusia.
Dalam pada itu, jabatan negara tersebut memaklumkan, tindakan tersebut bertujuan untuk menyekat pengeluar, pengeksport dan pengimport barangan yang dianggap kritikal bagi menyokong asas industri kepada ketenteraan Rusia.
"Barangan itu termasuk mikroelektronik dan barang terkawal khususnya sistem kawalan berangka komputer seperti yang dikenal pasti oleh Biro Industri dan Keselamatan, Jabatan Perdagangan AS,” ujarnya.
Tambah jabatan negara itu juga, didakwa menjadi entiti yang melakukan penganiayaan Rusia terhadap perang haramnya terhadap Ukraine.
"Zeolite menghantar AS$2.1 juta (RM9.2 juta) item Senarai Keutamaan Tinggi Biasa atau CHPL (Tahap 3) termasuk galas bebola kepada syarikat yang berpangkalan di Rusia pada Mac.
"Centrina, antara Januari tahun lalu dan Februari tahun ini menghantar kira-kira AS$2.7 juta (RM11.8 juta) barangan CHPL (Tahap 3) termasuk galas bebola kepada syarikat yang berpangkalan di Rusia,” katanya.
Gynten pula dikatakan telah menghantar barang CHPL Tahap 3 bernilai kira-kira AS$2 juta iaitu RM8.8 juta kepada syarikat yang berpangkalan di Rusia antara Februari tahun lepas dan April ini.
Bagi Moralability, syarikat tersebut telah menghantar barang yang sama bernilai sebanyak AS$1.3 juta iaitu sebanyak RM5.7 juta kepada syarikat berpangkalan di Rusia antara November tahun lalu dan April baru-baru ini.
"Melix Global dikatakan telah mengeksport lebih AS$190,000 (RM830,000) barangan CHPL seperti galas bebola ke Baltpromservis yang ditetapkan AS pada April.
"Sementara Maxtrum telah menghantar barang CHPL (Tahap 3) bernilai AS$2.1 juta (RM9.2 juta) termasuk galas bebola kepada syarikat yang berpangkalan di Rusia,” jelasnya.
Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berhubung dengan pihak Kedutaan Rusia bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan seorang warga tempatan terlibat sebagai tentera upahan asing dalam konflik Ukraine dan Rusia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan itu telah diambil oleh Cawangan Khas PDRM.
Ia susulan tular penemuan dua keping gambar yang menunjukkan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemukan di medan peperangan antara Ukraine dan Rusia.