AS kerah mesin perang ke Asia Barat

Iklan
Penghantaran pesawat pengebom strategik, B-52 Stratofortress dikhuatiri akan memburukkan lagi konflik di Asia Barat. - Foto: Agensi

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu mengesahkan ketibaan pesawat pengebom B-52 di Asia Barat, sehari selepas ia mengumumkan penghantaran 'mesin perang' kononnya untuk memberi amaran kepada Iran.

Pesawat pengebom strategik, B-52 Stratofortress dari Sayap Bom ke-5 Pangkalan Tentera Udara Minot itu mendarat di Pusat Perintah AS (CENTCOM).

Iklan
Iklan

Pada Jumaat, Washington menghebahkan tentang penghantaran pelbagai jentera termasuk pemusnah pertahanan peluru berpandu balistik ke rantau tersebut yang semakin tegang angkara Israel yang gila berperang.

"Kami akan mengambil langkah yang perlu untuk melindungi kepentingan kami jika Iran dan sekutu atau proksi mereka melancarkan serangan ke atas kami,” kata jurucakap Pentagon, Mejar Jeneral Pat Ryder ketika memaklumkan tentang 'campur tangan' baharu AS di Asia Barat.

Iklan

Ketika ini, Washington dalam keadaan siap siaga selepas Tel Aviv selaku sekutu kuatnya melancarkan serangan balas ke atas Teheran pada 26 Oktober lalu yang dikhuatiri akan mencetuskan respons lebih agresif daripada Iran.

Susulan provokasi musuh yang semakin meningkat, Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei berikrar mahu bertindak balas dengan lebih tegas.

Iklan

"AS dan Zionis bakal berdepan tindak balas yang amat dahsyat atas apa yang mereka lakukan terhadap Teheran dan gerakan di bawah Paksi Penentangan anti-Israel. Ia bukan langkah tuntut bela semata-mata, namun tindakan logik selari dengan tuntutan agama dan undang-undang antarabangsa,” tegasnya.

Sebelum ini, Washington berjanji mahu mempertahankan Israel dan pasukan tentera AS di Asia Barat yang telah berdepan siri serangan dilancarkan gerakan penentangan di Syria, Iraq, Jordan serta luar pantai Yemen. - Agensi