Peluncur warga emas putus kaki diserang ikan yu

Iklan
Seorang lelaki yang melakukan aktiviti meluncur di pulau Maui, Hawaii putus kedua-dua belah kaki selepas diserang ikan yu. Foto hiasan

WASHINGTON - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki berusia 61 tahun yang melakukan aktiviti meluncur air di pulau Maui, Hawaii hilang sebelah kakinya dalam serangan ikan yu, kata polis tempatan, lapor United Press International.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pegawai polis dan Bomba Daerah Maui, lelaki tempatan itu yang belum dikenal pasti oleh pihak berkuasa sedang meluncur pada pagi Jumaat di kawasan Waiehu Beach Park yang dikenali sebagai 'Sand Piles' ketika serangan berlaku.

Iklan
Iklan

Pasukan penyelamat dikerahkan ke pantai pada jam 7.05 pagi (Jumaat). Apabila mereka tiba, pasukan berkenaan melihat lelaki itu telah berjaya sampai ke pantai dengan bantuan orang awam walaupun kakinya terputus dari paras bawah lutut.

Penolong Ketua Jabatan Bomba dan Keselamatan Awam Maui, Jeff Giesea berkata, mangsa dalam keadaan sedar semasa dirawat di pantai dan dibawa ke Pusat Perubatan Memorial Maui dalam keadaan kritikal.

Iklan

Laman GoFundMe yang ditubuhkan oleh ahli keluarga untuk membantu menampung kos perubatan mengenal pasti mangsa sebagai 'Kenji'.

Seorang 'rakan rapat' mangsa memberitahu KHON-TV bahawa Kenji kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan pagi Jumaat, sambil menambah bahawa mangsa telah meluncur di kawasan pantai Waiehu yang sama selama 30 tahun.

Iklan

Selepas kejadian itu, pintu masuk ke Waiehu Beach Park ditutup dan semua pengunjung pantai diberi amaran agar tidak memasuki air dari Paukukalo ke Waihe'e sehingga diberitahu kelak.

Pegawai Jabatan Bomba Maui membuat rondaan di tempat kejadian dengan bot penyelamat dan mengerahkan dron untuk memantau perairan luar pesisir bagi sebarang aktiviti ikan yu. - Bernama