Johor negeri pertama tawar gaji premium RM4,000 - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid

JOHOR BAHRU - Johor bakal menjadi negeri pertama yang menawarkan gaji premium bermula RM4,000 dan RM5,000 kepada pekerja berkemahiran tinggi khususnya di Zon Ekonomi Khas Johor- Singapura (JS-SEZ).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasrat Johor itu mampu dicapai dengan penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).

Iklan
Iklan

Beliau memaklumkan JTDC akan bertindak sebagai hab sehenti yang menghubungkan Institusi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri dan pencari kerja.

Ahmad Zahid (tiga dari kanan) merasmikan Majlis Pembangunan Bakat Johor dan Karnival Kerjaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bharu pada Ahad.

"Apa yang dilakukan Johor ini adalah untuk menetapkan gaji premium bagi diploma bermula dengan RM4,000, manakala gaji premium ijazah sarjana muda bermula RM5,000. Tidak ada negeri lain melakukannya (gaji premium) setakat ini hanya Johor sahaja yang berada di hadapan.

Iklan

"Kita melihat peluang pekerjaan yang ada di Johor umpamanya menghadapi persaingan dari negara jiran. Ini kerana gaji minimum ditetapkan kerajaan adalah RM1,700 berkuatkuasa Februari depan, namun gaji minimum di Singapura pula adalah $1,500 yang bersamaan dengan RM5,290.

"Oleh itu, adalah penting untuk Johor memperkenalkan gaji premium kepada pekerja berkemahiran tinggi supaya bakat tempatan tidak mengalir keluar," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Majlis Pembangunan Bakat Johor dan Karnival Kerjaya, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Ahmad Zahid bergambar bersama pelajar yang hadir pada Majlis Pembangunan Bakat Johor dan Karnival Kerjaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bharu pada Ahad

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sebanyak 100,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi ditawarkan di beberapa zon ekonomi termasuk di JS-SEZ tidak lama lagi.

Katanya, JS-SEZ memerlukan seramai 74,000 pekerja berkemahiran tinggi ketika ini, namun hanya 52,000 permohonan kerja dibuat setakat ini.

"Oleh itu, JTDC ini menjadi sokongan utama kepada penghasilan lebih ramai tenaga kerja kemahiran tinggi yang diperlukan pasaran terutama lepasan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pendidikan TVET.

"Kita ada 1,345 institusi TVET di seluruh negara dan di Johor sahaja ada lebih 220 institusi TVET," katanya.

Justeru beliau mengarahkan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) supaya menyalurkan peruntukan RM20 juta kepada institusi TVET di negeri ini.

"Ia bagi memastikan Johor dapat membekalkan keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan sekali gus memastikan pembangunan ekonomi negeri dan negara terus mampan," katanya.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan sedang memperhalusi 10 sektor utama ditawarkan bawah inisiatif JS-SEZ.

Tambah beliau, antaranya melibatkan ekonomi digital, tenaga, perkhidmatan perniagaan, pelancongan kesihatan dan keterjaminan makanan.

April lalu, media melaporkan projek berimpak tinggi JS-SEZ dijangka mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi.

Onn Hafiz berkata, projek berkenaan juga dilihat akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri ini.