Tempat ambil wuduk jauh, seolah tiada empati kepada OKU - Jemaah OKU

Iklan
Luahan Raja Safuan menarik perhatian netizen hingga tular. Gambar kanan: Maklum balas pengurusan masjid berhubung isu dibangkitkan lelaki OKU itu di media sosial Facebook.

PUTRAJAYA - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) meluahkan kekecewaan apabila kemudahan mesra pengguna kepada golongan itu masih pada tahap kurang memuaskan.

Menerusi perkongsian di Facebook, Raja Safuan berkongsi kepayahan apabila terpaksa berjalan jauh untuk mengambil wuduk di Masjid Putra Putrajaya.

Iklan
Iklan

Ia susulan tiada kemudahan tandas atau tempat mengambil wuduk berdekatan dan yang ada didakwa disediakan untuk 'VIP' sahaja.

"Alhamdulillah hari ini saya meluangkan masa solat berjemaah di Masjid Putra, Putrajaya.

Iklan

"Saya bertanyakan kepada pihak masjid, ada tak tempat berwuduk yang dekat untuk saya? Maklumlah saya OKU dan mereka dapat melihatnya.

"Tetapi mereka berkata, boleh ambik wuduk dan tandas di bawah atau di hujung sana sahaja (agak jauh sebenarnya untuk OKU seperti saya berjalan)," kongsinya menerusi hantaran di Facebook empat hari lalu.

Iklan

Lelaki berkenaan kemudian bertanya sama ada disediakan tempat wuduk terdekat untuk kegunaan OKU, namun hampa apabila kemudahan itu tidak disediakan.

"Pihak masjid membalas, tandas terdekat hanya pada VIP sahaja, mereka tiada kunci untuk membukanya.

"Tanpa memanjangkan pertanyaan yang jawapannya sama, saya berlalu pergi berjalan perlahan-lahan dan terkedek-kedek di hujung sana. Alhamdulillah akhirnya boleh berwuduk dan dapat berjemaah juga," luahnya.

Raja Safuan berkata, sudah lebih 30 tahun beliau mengalami kesukaran seperti itu termasuk ketika berurusan di bank seolah tiada empati terhadap golongan OKU.

"Takkan saya nak guna tiket VIP, baru nak diberikan layanan istimewa?

"Saya harap pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengambil berat terhadap isu OKU termasuk menerapkan elemen adab dan keistimewaan yang sepatutnya," katanya.

Ujarnya, aspek kebajikan bukan hanya patut ditumpukan kepada golongan wanita sahaja tetapi perlu diperluaskan, termasuk bantuan kepada usahawan OKU yang turut membantu ekonomi negara.

"Lihat bagaimana banyak negara luar memberi hak keistimewaan kepada golongan OKU.

"Akhir kata semoga OKU juga dipandang tinggi oleh masyarakat dan lebih adil serta saksama.

"Minta maaf andai saya terkasar bahasa, namun sudah pelbagai cara saya cuba buat aduan sebelum ini, namun apabila kejadian berlaku di Masjid Putra, ia agak memeritkan kerana berlaku di masjid dan kedua ia adalah tempat pelancongan.

"Semoga kita semua tidak memencilkan manusia yang bergelar OKU kerana kami tidak meminta dijadikan OKU tetapi ALLAH SWT menjadikan kami dengan penuh hikmah. Selamat beramal," tambahnya.

Sementara itu Masjid Putra menerusi maklum balas terhadap berita tular itu memaklumkan, pihaknya mengambil maklum berkaitan kekhilafan komunikasi tentang kemudahan tempat berwuduk di masjid berkenaan.

"Insya-ALLAH kami sentiasa bersedia menambah baik dan memudah cara keperluan para jemaah OKU bagi keselesaan beribadah di masjid dari masa ke masa.

"Pihak masjid merakamkan penghargaan atas maklum balas yang diberikan dan berusaha menjadikan masjid lebih mesra pengguna OKU sebagaimana digariskan di bawah Pelan Transformasi Al-Falah di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)," katanya.