Sabah FC teruskan rentak kemenangan, tewaskan Kelantan 4-1

Iklan
Penyerang Sabah FC, Farhan Roslan (kiri) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan Joao Pedro pada aksi menentang Kelantan Darul Naim FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas hari ini. Foto Bernama

SABAH FC meneruskan rentak kemenangan dalam aksi Liga Super musim ini apabila menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 4-1 dalam saingan di Stadium Likas di sini malam ini.

Kemenangan keempat berturut-turut skuad Sang Badak dimulakan dengan jaringan Joao Pedro menerusi menanduk hasil hantaran lintang daripada Stuart Wilkin pada minit ke-17.

Iklan
Iklan

Pada minit ke-27 pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan hasil tendangan kencang pemain sayap Mohamad Fazrul Amir setelah berjaya merampas bola daripada pertahanan Sabah FC di kawasan kotak penalti.

Namun belum sampai seminit pasukan KDN FC meraih gol penyamaan, pasukan tuan rumah kendalian Datuk Ong Kim Swee sekali lagi berada di hadapan hasil jaringan Muhammad Farhan Roslan yang berjaya menampan masuk tandukan Joao Pedro.

Iklan

Pasukan tuan rumah semakin garang apabila beberapa lagi percubaan berjaya dihasilkan seterusnya berjaya menghasilkan satu lagi gol melalui tandukan Joao Pedro pada minit ke-45, hasil sepakan percuma Wilkin dan keputusan kekal 3-1 hingga tamat babak pertama.

Bermula babak kedua kedua-dua pasukan masing-masing mengatur serangan, namun pasukan Sabah FC sekali lagi menambah jaringan hasil tandukan Gabriel Peres pada minit ke-61 juga hasil sepakan percuma Wilkin.

Iklan

Sabah FC beberapa kali lagi melakukan percubaan namun gagal menewaskan penjaga gol KDN FC Mohammad Fikri Che Soh dan keputusan kekal 4-1 sehingga tamat perlawanan.

Sabah kekal di tempat ketiga liga dengan 26 mata manakala KDN FC di tangga ke-12 dengan tujuh mata. - Bernama