KUANTAN - Pekerja ladang yang dilaporkan hilang disyaki dibawa arus ketika mencari kepah di muara Sungai Balok, Sabtu lalu ditemui lemas pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa, Leong Wai Seng, 57, ditemui nelayan di lokasi kira-kira tiga batu nautika dari muara Sungai Balok.
Menurutnya, penemuan mayat mangsa dimaklumkan pada jam 6.30 petang.
"Hasil pengecaman oleh majikan mangsa (pengadu) mengesahkan mayat tersebut adalah mangsa yang hilang.
"Pemeriksaan terhadap fizikal mangsa mendapati tiada sebarang kesan kecederaan," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.
Kejadian menimpa mangsa berlaku kira-kira jam 6.30 petang pada Sabtu ketika dia bersama dua rakan termasuk majikan datang ke kawasan tersebut untuk beriadah.
Mangsa dikatakan teruja untuk mencari kepah turun ke air sendirian ketika air surut.
Kira-kira setengah jam kemudian, air mula pasang dan mangsa disyaki hilang dihanyutkan arus.