SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tampil berbeza apabila beralih kepada kecerdasan buatan (AI) untuk menyampaikan ucapan sempena sambutan Deepavali.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman Facebook, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menggunakan teknologi suara AI untuk bertutur dalam bahasa Tamil.
"Untuk ucapan Deepavali tahun ini, saya akan menyampaikannya dalam bahasa Tamil sepenuhnya menggunakan teknologi AI untuk meniru suara saya.
"Jika eksperimen ini berjaya, saya akan cuba menggunakan 'lip sync' pula untuk memastikan suara itu selari dengan ucapan saya," katanya.
Video tersebut meraih perhatian warganet yang turut menyamakan suara AI itu sama dengan suara Rafizi.
Malah ada yang memuji kesungguhan beliau untuk mencuba perkara yang baharu terutama dalam penggunaan AI.
Rafizi juga meminta orang ramai untuk menilai percubaannya dengan meninggalkan komen di ruangan disediakan platform itu.
"Nilai dan komen jika suara itu kedengaran sama seperti suara saya,” ujarnya.