Lihat asap sebelum api menjulang musnahkan dua rumah

Iklan
Pasukan bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran dua rumah di Pantai Genting, Tumpat. Foto bomba

TUMPAT - Seorang pemilik gerai memproses ikan kering melihat kepulan asap hitam sebelum api menjulang memusnahkan dua buah rumah di Pantai Genting di sini pada Ahad.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Iklan
Iklan

Saksi terbabit, Tengku Abdullah Tengku Rahaman, 32, berkata, dia ketika itu sedang bersiap untuk menutup ikan bilis yang dijemur dengan plastik kerana hari sudah petang.

"Saya terdengar bunyi percikan api dan melihat kepulan asap hitam dari salah sebuah rumah kayu yang terletak kira-kira 100 meter dari gerai saya.

Iklan

"Tidak lama selepas itu, api tiba-tiba menjulang menyebabkan saya panik dan terus menghubungi bomba,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Dia yang pertama kali melihat kejadian kebakaran rumah sedemikian berasa cemas dan takut untuk mendekati tempat kejadian.

Iklan

Tambahnya, tiupan angin ketika itu juga menyebabkan api merebak dengan cepat ke rumah kayu kedua yang terletak berhimpit dengan rumah pertama.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Mohd Zariman Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.10 petang dan seramai 20 anggota dari BBP Pengkalan Kubor, Tumpat serta Wakaf Bharu bergegas ke lokasi.

"Pihak bomba yang tiba pada jam 6.23 petang terus menjalankan operasi memadam kebakaran dan api dapat dikawal pada jam 6.49 petang.

"Operasi pemadaman api menggunakan empat aliran hos, lima pancuran dari dua jentera Fire Rescue Tender dan masing-masing satu Light Fire Rescue Tender serta kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zariman memberitahu, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.