SEREMBAN - Polis menahan lima lelaki dipercayai penyokong bola sepak pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) kerana melakukan kekecohan dengan penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) di hadapan sebuah hotel berdekatan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintenden Mohd Rosli Ishak berkata, kekecohan berkenaan berlaku selepas selesai perlawanan bola sepak Liga Super antara NSFC dengan JDT lebih kurang jam 11 malam pada Jumaat lalu.
Menurutnya, pihak polis bagaimanapun berjaya mententeramkan keadaan.
"Berikutan itu tiga lelaki berusia 17 hingga 21 tahun ditahan sebelum dua lagi lelaki berusia 18 dan 20 tahun disyaki terlibat dalam insiden tersebut turut ditahan pada Sabtu. Kesemuanya dipercayai merupakan penyokong NSFC.
"Pihak polis telah mengenal pasti beberapa individu lain yang didakwa terlibat dan sedang mengesan individu yang masih bebas," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum itu, tular satu video berdurasi 1:02 saat di laman sosial mengenai kekecohan antara dua penyokong bola sepak itu dan terdapat orang awam cuba membantu meleraikan kejadian berkenaan.
Mohd Rosli berkata, kes ini masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan/ 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan di tempat awam dan khianat.
"Orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil tindakan yang melangkaui undang-undang selain tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat.
"Justeru, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat kejadian ini diminta tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6033222 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Muhammad Ikhmal Helmi (013-4519829)," katanya.