MEDAN - Gara-gara cemburu dengan isteri kerana sering menghubungi bekas suaminya, seorang lelaki nekad menikam mangsa hingga mati.
Lelaki dikenali sebagai Agus Herbin Tambun itu bertindak sedemikian ketika isterinya sedang 'live' di Facebook dan karaoke bersama keluarganya pada malam Sabtu lalu.
Mangsa, Hertalina Br Simanjuntak ditikam sebanyak lima kali oleh suaminya, Agus yang merupakan warga Desa Suka Damai Kecamatan Sei Bambam, Kabupaten Serdang Bedagai di Indonesia.
Insiden itu turut disaksikan warganet yang menonton siaran langsung tersebut.
Menerusi klip video berdurasi 32 saat itu, ahli keluarga yang lain turut menjerit ketakutan apabila Agus yang datang dari arah belakang menikam isterinya secara tiba-tiba.
Pelaku bagaimanapun melarikan diri selepas insiden itu.
Ahli keluarga mangsa kemudiannya membawa mangsa ke Rumah Sakit Chevani dan disahkan meninggal dunia.
Setelah laporan dibuat kepada polis, Agus berjaya diberkas pihak berkuasa dalam tempoh kurang 24 jam setelah dia bersembunyi di rumah saudaranya.
Siasatan awal mendapati suspek mengaku tindakan itu didorong oleh rasa sakit hati dan cemburu kerana Hertalina masih berbaik dengan bekas suaminya.
"Pisau yang dijadikan senjata adalah milik mangsa yang biasanya digunakan untuk memotong jeruk," kata jurucakap polis. - Agensi