ALOR SETAR - Pembekalan baja kepada pesawah tidak terjejas meskipun perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) digantung berkuat kuasa Jumaat bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, ini kerana bekalan baja sudah diterima oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) masing-masing dan kini sedang diedarkan mengikut kawasan.
Menurutnya, penggantungan tersebut tidak memberi sebarang kesan kepada agihan baja berikutan Surat Setuju Terima (SST) sudah ditandatangani baru-baru ini."Syukur kemelut tersebut tidak jejaskan dari segi pembekalan, cuma dari sudut punca kuasa Anggota Jemaah Pengarah (AJP) Nafas sahaja yang terkesan.
"Sebelum ini AJP Nafas pernah digantung tugas namun ia tidak menimbulkan masalah kerana akan diambil alih oleh pengurusan Nafas dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebagai Pendaftar Pertubuhan Peladang,” katanya.
Pada Jumaat, Ketua Pengarah LPP, Amir Matamin memaklumkan, perlembagaan Nafas digantung berkuat kuasa Jumaat bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid menyarankan agar melantik golongan profesional, teknokrat dan ahli akademik untuk membantu memulihkan Nafas.
"Kita tidak mahu orang politik atau individu yang ada kepentingan tertentu dalam pengurusan Nafas. Kita mahu gabungan profesional, akademik dan teknokrat untuk lakukan perubahan.
"Kali ini kita mahukan pembaharuan sebenar-benarnya dalam keseluruhan sistem,” ujarnya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini mendedahkan kewujudan kartel pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.
SPRM memulakan siasatan selepas beberapa siri pembongkaran di ibu pejabat pertubuhan, kementerian dan sembilan syarikat berkaitan.