Subsidi minyak masak sasaran seterusnya?

Iklan
Susulan kekurangan bekalan, rakyat yang memerlukan terpaksa membeli minyak masak dalam kadar mahal, sedangkan bukan warganegara bagai dilimpahi nikmat minyak.

PENGGUNA di negara ini seperti sudah pasrah dengan isu minyak masak peket yang hilang daripada 'radar' pasaran.

Banyak kali isu kekurangan stok ini dibangkitkan. Yang peliknya, pengguna susah untuk mendapat bekalan namun mudah pula peniaga tepi jalan memperolehnya.

Ia mungkin disebabkan pembekal lebih gemar menjual bahan subsidi itu secara pukal kepada peniaga pada harga lebih tinggi berbanding pengguna biasa.

Iklan
Iklan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru mendedahkan tindakan tidak bertanggungjawab sebuah premis perniagaan yang menyorok berkotak-kotak bekalan tersebut.

Taktik itu terbongkar selepas pihaknya menerima maklumat menerusi e-aduan sebelum penguat kuasa digerakkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

Penguat kuasa KPDN melakukan penyamaran sebagai pengguna untuk membeli minyak masak peket namun pekerja kedai itu memaklumkan ia telah habis dijual.

Berikutan rasa curiga dengan alasan tersebut, anggota penguat kuasa beruniform telah memasuki premis tersebut dan berjumpa dengan penyelia kedai berkenaan.

Iklan

Pemeriksaan secara menyeluruh di premis tersebut mendapati puluhan kotak minyak masak peket di simpan di dalam stor penyimpanan.

Sebanyak 935 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi bernilai lebih RM3,000 telah disita.

Iklan

Mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, penalti sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi suatu pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan pertama atau RM5 juta bagi kesalahan kedua dan berikutnya.

Jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, sabit kesalah an boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Walaupun denda mencecah jutaan ringgit namun isu sorok minyak peket ini tidak berkesudahan. Antara lain ia disebabkan sikap segelintir pihak yang mahu mendapat untung berganda dengan menjual barang subsidi kepada pihak yang sudi membeli pada harga lebih tinggi.

Ia berikutan harganya yang murah RM2.50 sekilogram berbanding jenis botol mencecah RM6 bagi berat sama. Harga itu jauh lebih murah berbanding harga minyak masak Thailand yang berharga 77 bath (sekitar RM10.30) sekilogram.

Ini mendorong kegiatan penyeludupan minyak peket ke negara jiran khususnya di Selatan Thailand.

Pada saat rakyat Malaysia hanya dihadkan dua peket bagi setiap pembelian, minyak yang diseludup ke sana begitu mudah didapati malah tiada sekatan kuantiti ditetapkan.

Sikap mengambil kesempatan golongan 'untung atas angin' ini akhirnya akan memberikan kesan kepada rakyat secara keseluruhan.

Diesel dan RON95 terlibat dengan penyasaran subsidi ekoran isu ketirisan dan tidak mustahil minyak peket pula menyusul.

Subsidi diperkenal untuk membantu rakyat, tidak wajar ia dinikmati bukan warganegara apatah lagi yang tidak tinggal di dalam negara.

Peruntukan subsidi bukan melibatkan perbelanjaan yang sedikit malah mencecah jutaan ringgit. Wang itu sebenarnya boleh dibelanjakan untuk kegunaan lain termasuk meningkatkan fasiliti.

Kerajaan menggunakan wang itu sebagai ihsan untuk membantu rakyat bagi mengurangkan kos sara hidup namun akhirnya disalah guna.

Susulan kekurangan bekalan, rakyat yang memerlukan terpaksa membeli minyak masak dalam kadar mahal, sedangkan bukan warganegara bagai dilimpahi nikmat minyak.

Jangan marahkan kerajaan jika subsidi minyak masak peket ditarik disebabkan sikap segelintir pihak yang mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain.

Justeru, KPDN diseru terus mempergiat usaha memerangi penyeludupan minyak peket serta tidak berkompromi terhadap peniaga yang menyorokkan bekalan ini.

Jangan hanya mengeluarkan notis amaran sebaliknya bawa mereka ke muka pengadilan sehingga dikenakan denda paling maksimum.

*Norafiza Jaafar ialah wartawan Sinar Harian Selangor/Kuala Lumpur