GUA MUSANG – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin untuk prosiding sebutan semula terhadap pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 14 Ogos lalu.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri itu dilihat memakai sut lengkap dan dikawal ketat polis sebelum dibawa masuk ke lobi mahkamah pada jam 8.45 pagi.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu kelihatan tenang dan tersenyum serta sempat bersama-sama mengaminkan doa yang dibaca penyokong-penyokong sebelum masuk ke bilik mahkamah.
Hadir sama, pemimpin Bersatu dan PN termasuk Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham.
Pada 27 Ogos lepas, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas pertuduhan berhubung isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) ketika menyampaikan ceramah dalam PRK DUN Nenggiri di sini.
Muhyiddin, 77, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan lapang berhampiran Dewan Semai Bakti Felda Perasu.
Beliau didapati menyebut perkataan yang menghasut pada 14 Ogos 2024 antara jam 10.30 hingga 11.50 malam.