KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bukan lagi rahsia, pelakon, Diana Danielle hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Isnin, untuk memfailkan permohonan cerai buat kali kedua terhadap suaminya, Farid Kamil.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, yang tiba bersama peguam, memfailkan permohonan itu sejurus tiba di mahkamah pada jam 9.20 pagi.
Bagaimanapun, Farid atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 43, tidak hadir ke mahkamah.
Sementara itu, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Diana selaku plaintif berkata, permohonan cerai itu dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.
"Diana maklumkan kepada saya, dia tekad mahu meneruskan perceraian kali kedua, bulan lalu.
"Jika Farid selaku defendan tidak mahu beri kerjasama untuk bercerai, maka proses ini akan memakan masa yang lebih panjang,” katanya.
Sementara itu, Diana mengharapkan yang terbaik dan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.
"Tiada keperluan untuk memanjangkan permohonan cerai ini,” kata Diana yang hadir ke mahkamah dengan memakai jubah hitam.
Diana memilih untuk mendiamkan diri dan tidak menjawab soalan wartawan yang menunggu di lobi mahkamah.
Sebelum ini, pelakon filem ‘Imaginur’ itu meminta Farid menghormati permintaannya agar segera berpindah dari kediaman, memandangkan mereka bakal bercerai.
Bagaimanapun, Farid yang juga pelakon serta pengarah, menyifatkan kemelut rumah tangga itu sekadar perselisihan faham kecil.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.
Sebelum ini, Diana dan Farid pernah berhadapan dengan krisis rumah tangga yang berpanjangan sebelum disahkan bercerai talak satu menerusi aplikasi ‘Google Meet’ pada 10 Ogos 2023.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka rujuk semula sebulan kemudian.