'Kami tiada talian hayat'

Iklan
Anis Syazwani menukar tayar keretanya yang rosak.

KOTA BHARU - Seorang pengasas kosmetik berdepan detik cemas apabila tayar keretanya rosak teruk dalam kejadian di Jalan Kuala Lipis-Gua Musang ketika dalam perjalanan pulang dari Semenyih, Selangor ke Kelantan.

Ketika kejadian kira-kira jam 11.30 malam Selasa minggu lalu, Anis Syazwani Rohaimi, 27, bersama tiga lagi rakan berusia antara 20-an dan 30-an terpaksa memberhentikan kereta dalam keadaan gelap.

Iklan
Iklan

Menurut Anis Syazwani, mereka berempat mengikuti program bersama pempengaruh dan usahawan terkenal, Syahmi Sazli di beberapa daerah di Selangor.

Anis Syazwani (dua, kiri) bersama rakan-rakan yang menyertai program Syahmi Sazli.

"Kami sepatutnya bergerak pulang pada jam 12 tengah hari bersama rakan-rakan lain tetapi saya perlu bertemu pembekal yang mengambil masa agak lama untuk siap sepenuhnya," katanya.

Iklan

Anis Syazwani memberitahu, mereka kemudian bertolak kira-kira jam 7 malam dan dalam 30 minit sebelum sampai di Bandar Gua Musang, tayar kereta yang dipandunya mengalami kerosakan teruk mungkin disebabkan jalan berlubang dan tidak rata.

Katanya lagi, ketika perjalanan kira-kira jam 11.30 malam keadaan tayar seolah-olah melantun beberapa kali dan mereka terasa seperti terpelanting dengan kuat dalam kereta itu.

Iklan

"Saya memberhentikan kereta hanya beberapa meter dari selekoh dan keadaan jalan gelap manakala kenderaan yang melalui laluan itu dalam keadaan laju.

Jelasnya lagi, masing-masing bimbang untuk keluar dari kereta kerana memikirkan beberapa kes kematian membabitkan harimau serta binatang buas lain.

Bagaimanapun kata Anis Syazwani, mereka menguatkan semangat untuk keluar dari kereta kerana memikirkan masalah itu tidak akan selesai.

Anis Syazwani dan rakan-rakan menggunakan YouTube sebagai panduan menukar tayar rosak.

"Tiada pemandu yang mahu memberhentikan kenderaan walaupun kami cuba menggunakan isyarat berhenti dan meminta bantuan.

"Kami tiada 'talian hayat' lain selain berbincang memanfaatkan YouTube untuk membuka dan memasang tayar kereta. Mujur juga peralatan mencukupi," katanya.

Katanya lagi, sebaik sahaja mereka selesai menukar tayar dalam tempoh lebih sejam, seorang lelaki berusia 30-an yang mendakwa penduduk kampung itu datang bertanya khabar kerana anjing di kawasan rumahnya menyalak tanpa henti.

Tambah anak kelahiran Kota Bharu itu, lelaki berkenaan mendakwa sebelum ini ramai pemandu yang mengalami kerosakan kenderaan di kawasan berkenaan dan ada juga kes kemalangan maut kerana keadaan jalan itu.

"Lelaki itu turut membantu memeriksa kereta saya sebelum kami bertolak ke bandar Gua Musang hampir jam 1 pagi," katanya.

Bagi memastikan keselamatan, kesemua mereka mengambil keputusan untuk menumpang bermalam di rumah saudara salah seorang rakan yang bersama dalam kenderaan itu.

"Kami sudah tidak mampu untuk pulang ke Kota Bharu kerana kepenatan dan bimbang dengan keselamatan kerana lewat malam dan keadaan jalan juga gelap," katanya.

Anis Syazwani berkongsi detik itu di aplikasi TikTok dan ramai yang menasihatkannya supaya menjaga tayar kereta untuk perjalanan jauh.