Lantik peguam baru, bicara polis langgar pelajar tangguh

Iklan
Mohd Nazri dibawa keluar dari pekarangan Mahkamah Tinggi Ipoh selepas mahkamah membenarkan penangguhan perbicaraan kesnya pada Isnin kerana lantikan peguam baharu.

IPOH - Prosiding hari pertama perbicaraan seorang pegawai kanan polis di Mahkamah Tinggi Ipoh atas sabitan membunuh pelajar tingkatan lima tahun lalu yang dijadualkan pada Isnin ditangguhkan esok.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membenarkan penangguhan itu selepas mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak melantik peguam baharu dan memohon prosiding hari ini dilapangkan.

Iklan
Iklan

Peguam M Athimulan bersama bekas Ketua Polis Perak yang kini Peguam, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman akan mewakili pegawai berpangkat Deputi Superintenden (DSP) tersebut.

Peguam M Athimulan bersama Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman akan mewakili tertuduh pada prosiding perbicaraan yang bermula pada Selasa.

"Memandangkan peguam baharu dilantik, saya membenarkan penangguhan sehari sahaja untuk semakan dokumen. Perbicaraan akan bermula esok (Selasa)," kata Datuk Bhupindar Singh Gucharan.

Iklan

Menurut Athimulan, pihaknya baru sahaja mengambil alih kes tersebut pada pagi tadi sebelum prosiding perbicaraan bermula.

"Jadi kami minta agar perbicaraan pada hari ini dilapangkan dan ditangguh esok (Selasa)," katanya.

Mohd Nazri didakwa atas pertuduhan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz mewakili pihak pendakwaan bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui pada prosiding kes hari ini.

Hadir sama, peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Datuk Wan Azmir Wan Majid.

Sebelum ini, Mohd Nazri diwakili Peguam Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau, Lim Jin Wen, Cindy Wong dan M Kuhan.

Pada 14 Mei lalu, Mohd Nazri, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Ipoh dan mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu selama 30 hari bermula 4 November hingga 17 Januari tahun depan.

Sebuah kereta dan motosikal dipercayai barang kes dalam pendakwaan seorang pegawai kanan polis dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh.

Beliau didakwa atas pertuduhan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh antara jam 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari pada 15 Disember 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara minimum 30 tahun hingga 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

Pada 5 September lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak permohonan jaminan terhadap tertuduh agar dibebaskan sementara menunggu perbicaraan kesnya.