KUALA LANGAT - Pandan Mewah di Ampang antara lokasi dalam radar polis berhubung isu lambakan warga asing.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam rangka melakukan beberapa operasi bagi membanteras anasir tersebut.
"Bukan sahaja di lokaliti (Pandan Mewah, Ampang), tetapi tempat lain seperti di Kuala Selangor dan Sungai Buloh dikesan ada lambakan warga asing dan kita sangsi keberadaan mereka.
"Lokasi ini dalam pemantauan polis dan kita akan dapatkan risikan sebelum pemeriksaan atau operasi bersepadu dengan JIM," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Langat di sini, pada Isnin.
Majlis itu menyaksikan Deputi Superintendan Mohd Sufian Amin memangku jawatan itu menggantikan Asisten Komisioner Ahmad Ridhwan Mohd Nor yang dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah D7 (Bahagian Gangsterism) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
28 Oktober lalu, Sinar Harian secara eksklusif melaporkan penduduk flat Pandan Mewah, Ampang meluahkan rasa kecewa dan sedih apabila isu lambakan warga asing dipercayai tidak mempunyai dokumen sah selain pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) tidak dapat ditangani dengan berkesan.
Penempatan itu merangkumi 12 blok flat selain terdapat beberapa premis perniagaan termasuk kedai makan, runcit dan cuci kenderaan.
Lebih 'menakutkan', biar pun dipercayai ada antara warga asing berkenaan tidak memiliki dokumen sah, mereka seperti bebas bergerak selain bekerja di premis kedai dan menjual barangan di kaki lima.
Dalam kes berasingan, Hussein memaklumkan pihaknya telah bersedia daripada segi aspek keanggotaan dan logistik bagi menghadapi sebarang kemungkinan sama ada banjir atau tanah runtuh susulan Monsun Timur Laut (MTL).
"Dua minggu lalu, kita ada mesyuarat bersama agensi lain dan kita telah pun bersiap sedia menangani MTL di peringkat daerah dan negeri.
"Ini termasuk dari segi persiapan bot-bot dan kekuatan sumber manusia. Malah, baru ini kita telah memperoleh khemah yang mempunyai kelengkapan lengkap (dari kerajaan negeri) untuk bencana," ujarnya.