JERANTUT - Hasrat Muhamad Sayyid Azinuddin Mohd Zin, 26, ingin membantu keluarga terbantut selepas ditimpa kemalangan menyebabkannya tidak mampu bekerja seperti biasa.
Dia yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu pelancongan terbabit dalam kemalangan motosikal di Kuala Lumpur pada 2 April lalu.
"Selepas terjatuh ketika kejadian tersebut, saya tidak sedar dan kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut.
"Kecederaan parah yang saya alami disahkan oleh pegawai perubatan apabila kulit kepala terkoyak, patah tulang pinggul, tulang rusuk patah tujuh manakala sebatang tulang rusuk yang patah tertusuk ke bahagian paru-paru," katanya.
Ujar anak tunggal itu lagi, bantuan yang diberikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hasil caruman sebelum ini amat dihargai untuk meringankan beban keluarganya yang kini terpaksa bergantung sepenuhnya dengan bapa tirinya, Amyjarazam Amran, 53, yang hanya bekerja sendiri.
"Mujurlah, majikan saya mencarum dengan PERKESO sehingga boleh membantu membiayai rawatan menggantikan besi di pinggul dengan belanja yang agak mahal.
Jelasnya, walaupun dirinya sudah mampu berjalan baru-baru ini tetapi kekuatan fizikalnya masih belum cukup kuat dan masih tidak boleh bekerja setakat ini.
Mengakui sedikit tertekan, dia juga gusar dengan kesihatan ibunya, Rosyati Mohd Nor, 53, yang kini hanya berkerusi roda selepas menghidap pelbagai jenis penyakit sejak 2022 iaitu darah tinggi, kencing manis, angin ahmar, fibroid dan sawan.
"Ibu juga pernah mencarum ketika bekerja sebelum ini telah dibantu oleh PERKESO dengan kemudahan menjalani rawatan fisioterapi penyakit angin ahmar di sebuah hospital di Melaka namun keadaannya tidak berubah malah baru-baru ini penglihatannya semakin terjejas," ujarnya.
Tambahnya, ibunya juga seorang penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 serta barang keperluan dapur daripada Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) dan bersyukur dengan bantuan terbabit.
Namun keadaan yang dihadapi dua beranak itu memerlukan kos kira-kira RM2,000 sebulan untuk perbelanjaan ulang-alik rawatan di hospital, keperluan peralatan kebersihan diri, membeli ubat, bil dan sebagainya.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke nombor akaun 7618708374 (CIMB) atas nama Muhamad Sayyid Azinuddin.