Malaysia pantau perkembangan pasukan MALBATT di Lubnan

Iklan
Anwar pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan memantau keadaan dan keselamatan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di selatan Lubnan yang menjalani misi pengaman dari semasa ke semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap perkembangan mengenai pasukan itu disampaikan oleh Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yacob.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, Duta Besar Malaysia ke Lubnan masih di Beirut, memantau keadaan dan akan ada giliran penukaran pasukan sedia ada kepada baharu kerana tamat tempoh.

"Mereka dijangka tiba di tanah air sekitar 6 November hingga 19 November depan, kemudian penggantian kumpulan MALBATT yang lain," katanya ketika sesi penerangan di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilapor memaklumkan, penghantaran dan penugasan Pasukan MALBATT di selatan Lubnan akan diteruskan dengan pasukan MALBATT 850-12 dijadualkan berlepas secara berperingkat mulai 6 November hingga 18 November ini.

Keputusan tersebut dibuat setelah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Markas Angkatan Bersama menerima makluman mengenai ketetapan Force Commander Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) mengenai tarikh pertukaran untuk semua pasukan termasuk pasukan MALBATT 850-11 yang kini beroperasi di selatan Lubnan.

Iklan

Sementara itu Anwar menegaskan, Malaysia bersama 33 negara penyumbang anggota UNIFIL yang diketuai Poland, telah mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan serangan Israel.

"Negara kuasa besar dalam sejarah tidak segila, sekejam dan sezalim Israel seperti yang berlaku sekarang.

"Jarang dalam sejarah kita lihat, ada negara yang sanggup mengenepikan undang-undang dan hukum sehingga melibatkan risiko terhadap petugas-petugas PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) di Lubnan.

"Atas inisiatif Poland, kita menyokong dan melakukan kenyataan bersama oleh 33 negara mengutuk serangan itu dan tetap mempertahankan tindakan mengekalkan UNIFIL untuk keselamatan rantau yang bertelagah selama ini,” ujarnya.