SC kesan PLC kekalkan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif lebih 12 tahun

Iklan
SC mendapati hanya 18 peratus PLC mengamalkan had sembilan tahun jawatan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.

SHAH ALAM - Laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat (CG Monitor) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) 2024 mendapati hanya 18 peratus syarikat awam tersenarai (PLC) mengamalkan had sembilan tahun jawatan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, pengekalan pengarah yang telah lama berkhidmat iaitu sehingga 12 tahun melalui proses pengundian dua peringkat kekal berleluasa.

Iklan
Iklan

"Laporan itu turut menggariskan tiga bidang kritikal yang memerlukan penambahbaikan iaitu pembaharuan komposisi lembaga pengarah, meningkatkan penyertaan pemegang saham melalui Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) secara fizikal atau hibrid dan penyepaduan lebih mendalam.

"Dalam usaha Malaysia ke arah ekonomi lebih inklusif dan mampan, SC akan terus menyokong syarikat dalam menerima pakai amalan yang memberikan nilai jangka panjang untuk pihak perniagaan dan komuniti lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, situasi tersebut menekankan keperluan untuk PLC mengambil langkah yang lebih proaktif dalam menyegarkan komposisi lembaga.

Ujarnya, PLC digalakkan untuk memanfaatkan Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) yang mana Pejabat Pendaftaran Pengarahnya kini menyenaraikan 1,007 individu bersedia untuk berkhidmat dalam lembaga.

Iklan

Tambah beliau, situasi tersebut menawarkan PLC sekumpulan calon yang layak dan mempunyai perspektif baharu, memastikan lembaga pengarah kekal dinamik dan mampu menangani cabaran tadbir urus berkembang.

Dalam pada itu, Mohammad Faiz berkata, CG Monitor 2024 turut mendapati bahawa lebih 50 peratus daripada PLC terus mengadakan AGM secara maya atau hibrid pada tahun ini.

"Peralihan ini dijangka meningkatkan penglibatan pemegang saham, membolehkan penyertaan dan interaksi lebih bermakna di AGM. Tadbir urus kemampanan menyaksikan peningkatan ketara dengan lebih 96 peratus daripada PLC kini menerima pakai amalan yang menumpukan pada pengawasan lembaga serta pengurusan terhadap isu kemampanan.

"Ini termasuk komunikasi yang lebih jelas mengenai strategi dan sasaran kemampanan serta memastikan lembaga pengarah kekal dimaklumkan tentang perkembangan kemampanan berkaitan.

"Masih terdapat ruang untuk penambahbaikan seperti memasukkan kemampanan ke dalam penilaian prestasi lembaga pengarah dan pengurusan kanan serta melantik individu berdedikasi untuk mengurus usaha kemampanan secara strategik," ujarnya.

Tambah beliau, Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan (NSRF) yang baru dilancarkan bakal mengukuhkan lagi amalan ini, manakala inisiatif PACE akan menyediakan sumber seperti panduan dasar dan program pembinaan kapasiti untuk membantu PLC.

Menurutnya, semua PLC perlu mengadakan mesyuarat agung secara hibrid atau fizikal bermula 1 Mac 2025 dan peralihan itu dijangka meningkatkan penglibatan pemegang saham, membolehkan penyertaan dan interaksi yang lebih bermakna di AGM.

"CG Monitor tahun ini juga memaparkan nilai pandangan daripada Profesor Mak Yuen Teen tentang landskap tadbir urus korporat Malaysia yang bertambah baik.

"Selain itu, perkongsian maklumat daripada Institut Pengarah Korporat Malaysia tentang kepentingan menambah baik penzahiran oleh lembaga pengarah dan imbuhan pengurusan kanan juga bakal dilaksanakan," jelasnya.