Beruang berguling kesakitan selepas dilanggar di LPT2

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan seekor beruang dalam keadaan kesakitan selepas dipercayai dilanggar dalam kejadian di LPT2 arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

KUALA TERENGGANU - Seekor beruang berguling kesakitan di atas jalan dipercayai selepas dilanggar dalam kejadian di Kilometer (km) 422, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

Insiden tersebut dikongsi pengguna media sosial dikenali sebagai Khairul Nizam menerusi rakaman video berdurasi 59 saat di laman Facebooknya pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia merupakan antara individu terawal yang melalui kawasan itu serta sempat merakam keadaan beruang tersebut selepas dilanggar dalam kejadian yang berlaku pada Ahad.

Katanya, kesemua kenderaan terpaksa berhenti secara mengejut bagi mengelak daripada merempuh haiwan terbabit.

Iklan

"Dari jauh, ingatkan ada 'rider' kena langgar sebab saiz dia besar, sama besar dengan manusia. Dah dekat baru perasan beruang. Dia cuba nak bangun, tapi tak dapat, mungkin patah ke apa.

"Lepas tu, terus 'call' LPT 2 untuk hantar peronda," katanya menerusi hantaran tersebut.

Iklan

Menurut Khairul Nizam, dia berharap agar insiden menimpa beruang itu mendapat perhatian Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.

"Kasihan beruang tu, harap pihak Perhilitan dapat rawat,"tulisnya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, enam kakitangan jabatan itu telah ke lokasi kejadian sekitar jam 1.30 tengah hari pada Ahad.

Bagaimanapun, katanya, beruang tersebut sudah tiada di lokasi terbabit.

"Semalam ada kakitangan kita pergi ke situ tetapi beruang itu sudah tidak kelihatan.

"Kita harap orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan haiwan itu segera lapor kepada pihak Perhilitan," katanya.