Pengusaha produk salai henti operasi akibat masalah kesihatan

Iklan
Shamsuddin menunjukkan plastik pembungkusan yang masih elok sambil diperhatikan isterinya Nor Madiah Syarif, 63.

JEMPOL - Pernah mengusahakan produk berasaskan salai sehingga mampu meraih pendapatan memberangsangkan setíap bulan, namun kini Mohamed Shamsuddin K Mommo, 58, terpaksa menghentikan operasi perniagaannya susulan kekangan kesihatan.

Dia yang merupakan peneroka Felda Palong 9 akur apabila disahkan menghidap penyakit kronik sejak September tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, detik itu bagaikan mimpi ngeri baginya selepas mengalami sesak nafas sebelum ditahan di wad lebih kurang sebulan di Hospital Tuanku Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

"Doktor sahkan saya mengalami penyakit paru-paru berair, lemah jantung, darah tinggi, kencing manis dan kolesterol.

Iklan

"Paru-paru berair itu mungkin disebabkan rutin harian saya yang sering 'bermain' dengan asap salai atau sebab lain yang saya tidak begitu jelas, tetapi saya terima ujian ini dengan hati yang reda dan mahu fokus untuk sembuh," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya pada Isnin.

Mohamed Shamsuddin berkata, dia juga tidak mampu berjalan dengan baik susulan mengalami kaki bengkak dan perlu bergantung kepada alat bantuan seperti tongkat dan kerusi roda yang telah disumbangkan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli termasuk katil boleh laras.

Iklan
Shamsuddin melihat keratan akhbar yang pernah disiarkan Sinar Harian sebelum ini.

"Kalau bercerita mengenai pendapatan itu banyaklah kurangnya berbanding tahun lalu. Jika berniaga dapatlah kira-kira RM2,000 sebulan tidak termasuk pendapatan getah.

"Sekarang ini saya hanya bergantung sepenuhnya dengan hasil ladang getah yang diuruskan oleh Felda. Cukuplah untuk saya dan isteri selain duit belanja yang diberikan anak," katanya.

Isteri Shamsuddin, Nor Madiah Syarif, 63 melihat peralatan salai yang masih berfungsi.

Bagaimanapun dia masih menyimpan cita-cita untuk meneruskan perniagaan berkenaan walaupun mungkin mustahil kerana kesemua peralatan produk salainya masih berfungsi.

"Sekiranya ALLAH izinkan... dikurniakan kesihatan yang baik, Insya-ALLAH saya ingin mengeluarkan produk kerepek kambas sebab alat untuk memasaknya sudah sedia ada termasuk plastik pembungkusan. Doakan saya agar hasrat saya ini tercapai," katanya.

Shamsuddin mengusahakan produk salai dibantu anak tunggalnya sejak 2009 antaranya daging, ikan keli dan itik salai dengan jenama Sam Salai dengan menawarkan harga antara RM10 hingga RM13 sebelum menghentikan operasi pada penghujung tahun lalu.