JSJK bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina babit tangkapan warga tempatan

Iklan
Ramli

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Jabatan Siasatan Komersial (JSJK) Bukit Aman akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina susulan serbuan di sebuah markas di pelabuhan bebas di Luzon Tengah, Filipina yang didakwa dikendalikan oleh sindiket penipuan antarabangsa pada Khamis.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya difahamkan seramai 40 individu warga asing termasuk 21 warga Malaysia ditahan dalam serbuan itu.

"Siasatan lanjut akan dijalankan setelah kesemua warga tempatan itu pulang ke tanah air," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Iklan
Iklan

Ramli berkata, difahamkan beberapa individu terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia atau penipuan, mungkin ada daripada mereka mendakwa sebagai mangsa.

"Kita juga akan menyiasat jika sindiket tersebut mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan lain di Malaysia," ujarnya.

Iklan

Beliau berkata, JSJK Bukit Aman konsisten dalam menjalankan serbuan terhadap sindiket penipuan yang beroperasi di dalam negara.

"Seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, sindiket penipuan yang beroperasi di Malaysia terdiri daripada pelbagai warganegara termasuk penduduk tempatan.

Iklan

"Selain itu, terdapat juga warga asing yang bekerja di 'calling center' sindiket penipuan yang menyasarkan mangsa dari negara asal mereka," katanya.

Sebelum ini, media Philippine Daily Inquirer melaporkan pihak berkuasa di Filipina telah menyerbu kawasan sindiket penipuan, perjudian dan perdagangan manusia di lokasi berkenaan.

Pada Selasa, Biro Penyiasatan Kebangsaan (NBI) telah menangkap 18 warga China termasuk empat warga Malaysia yang mengendalikan sebuah pusat panggilan penipuan di Bandar Paranaque, Filipina.