Ronald, Radzi, Ahmad Faizal menang jawatan Naib Presiden Bersatu

Iklan
Keputusan itu diumumkan Abdul Azim pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Bersatu pada Isnin.

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Keputusan rasmi pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Part Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2024-2027 bagi tiga jawatan Naib Presiden menyaksikan dua penyandangnya iaitu Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mendapat undian tertinggi.

Turut mendapat undian tertinggi ialah Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sekali gus menewaskan tiga calon lain iaitu Timbalan Ketua Bersatu Selangor, Mohd Rafiq Mohd Abdullah; Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris dan Ketua Bahagian Bersatu Batu Kawan, Aziss Zainal Abidin.

Iklan
Iklan

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi pada sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Bersatu di sini pada Isnin.

Menurut Abdul Azim, mendahului senarai undi tertinggi adalah Radzi (11,690), Ronald (11,295) diikuti Ahmad Faizal (9,238).

Iklan

"Saya mengisytiharkan juga Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menang tanpa bertanding bagi penggal 2024 – 2027,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan sebanyak 169 bahagian telah bersidang dengan 74 Bahagian sudah menjalankan pemilihan di peringkat Bahagian.

Iklan

"Baki 95 bahagian telah mencatatkan kemenangan tanpa bertanding bagi semua jawatan manakala kehadiran berdasarkan jumlah undi diterima dan jumlah perwakilan yang layak hadir adalah 29,717 perwakilan iaitu sebanyak 61 peratus,” katanya.

Jelasnya, JPP telah menerima sejumlah 31 aduan dan bantahan dalam tempoh yang dibenarkan.

"Ada yang menghantar bantahan dan aduan selepas tempoh tamat, JPP tidak mempertimbangkannya.

"Asas aduan dan bantahan adalah pelbagai, antara lain - berkaitan peraturan persidangan, tatacara pemilihan, keabsahan perwakilan, prosedur pengeluaran kertas undi dan prosedur pengiraan undi.

"JPP Pusat telah membuat keputusan yang sewajarnya mengikut bidang kuasa yang dimiliki oleh JPP, selaras dengan peruntukan perlembagaan parti,” ujarnya

Tambahnya, tindakan dan keputusan JPP sentiasa berniat tulus ikhlas demi kebaikan parti dan demi untuk memastikan agar parti Bersatu sentiasa dihormati dan dipandang tinggi.

"Kalau ada sebarang kelemahan, kami memohon maaf.

"Kepada semua yang telah terlibat, sama ada yang berjaya, atau yang belum berjaya, saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas serta mendoakan agar dapat menabur khidmat bakti dengan ikhlas kepada Bersatu ini dengan bersungguh-sungguh dan beramanah demi menjunjung maruah agama bangsa serta tanah air,” katanya.

Pada 28 Oktober, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dipilih sebagai Ketua Srikandi Bersatu yang baharu selepas menang tanpa bertanding bagi jawatan itu.

Beliau menggantikan Datuk Seri Rina Harun, yang sebelum ini menarik diri daripada bertanding.

Manakala pada 29 Oktober lalu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham diumumkan sebagai Ketua Armada Bersatu bagi penggal 2024-2027.

Hilman memperoleh 1,888 undi mengatasi pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir dengan 170 undi yang meraih 1,718 undi.