KUALA LUMPUR - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) memberi amaran cadangan untuk mengehad bilangan unit kediaman yang boleh dibeli oleh rakyat Malaysia untuk pelaburan boleh menyebabkan keruntuhan sektor perumahan.
Presidennya, Datuk Ir Ho Hon Sang berkata, persatuan itu menyokong bantahan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming terhadap cadangan baru-baru ini untuk mengenakan had sedemikian.
"Rehda bersetuju pengenalan langkah sedemikian boleh menyebabkan keruntuhan industri perumahan, yang juga akan memberi kesan kepada 180 industri huluan dan hiliran dalam ekosistem, dan kelaknya akan turut menjejaskan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Hon Sang berkata, pembelian hartanah menyediakan pelbagai tujuan selain sebagai perlindungan, seperti melindung nilai terhadap inflasi dan memelihara kekayaan.
"Kita juga perlu mempertimbangkan rakyat Malaysia yang tidak mampu membeli rumah, dan sebaliknya menyewa rumah daripada pemilik rumah,” kata Hon Sang sambil menambah situasi penyewa berbeza-beza mengikut keperluan dan keadaan mereka.
"Sesetengah orang menyewa kerana kekangan kewangan, manakala yang lain berbuat demikian kerana gaya hidup nomad, kerap berpindah kerja atau lebih suka melabur atau berbelanja di tempat lain,” katanya.
Selain itu, katanya, menyekat pelaburan hartanah hanya akan menyebabkan pengeluaran rumah berkurangan sedangkan jumlah penduduk terus bertambah.
"Apabila permintaan melebihi bekalan, ia boleh menyebabkan kenaikan harga rumah serta sewa, malah boleh menyebabkan kehilangan tempat tinggal,” katanya memberi amaran.
Hon Sang mencadangkan daripada mengawal bilangan rumah yang boleh dibeli oleh seseorang sebagai cara untuk menangani isu perumahan, kerajaan sebaliknya perlu menyediakan lebih banyak insentif untuk lebih banyak rumah dibina di lokasi yang betul.
Dalam pasaran yang berdaya saing, harga rumah akan menjadi kompetitif untuk manfaat penduduk secara keseluruhan, katanya.
"Rehda akan terus menggalakkan ahlinya untuk memainkan peranannya menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti untuk rakyat yang tepat pada masa dan mampan,” katanya. - Bernama