'Ulat gambar' tidak dibenarkan beroperasi di KLCC

Iklan
Notis larangan menjalankan sebarang bentuk perniagaan di kawasan awam, pekarangan KLCC. Gambar kecil: Mohd Othman, Fazlina, Supriadi

KUALA LUMPUR - Pengurusan KLCC tidak membenarkan sebarang aktiviti jurugambar bebas atau 'ulat gambar' di pekarangan bangunan ikonik itu sejak tahun lepas.

Difahamkan penguatkuasaan larangan itu selepas menerima aduan pengunjung di 'scam' ketika menggunakan perkhidmatan tersebut selain isu kacau ganggu serta insiden pergaduhan sesama mereka.

Iklan
Iklan

Seorang polis bantuan yang ditemui memaklumkan, kumpulan tersebut tidak dibenarkan menjalankan aktiviti itu dalam kawasan berpagar.

Menurutnya, ada dalam kalangan mereka ingkar dengan arahan tersebut walaupun telah dihalau beberapa kali.

Iklan
Antara individu yang dikesan menawarkan khidmat mengambil gambar kepada pengunjung di Suria KLCC.

"Sebelum ini aktiviti itu dibenarkan tapi selepas ada kes pengunjung kena 'scam' lepas guna servis tersebut, KLCC ambil langkah kawalan.

"Ada yang setakat kita halau sahaja manakala yang degil dan tidak beri kerjasama terpaksa diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi.

Iklan

"Tahun ini sahaja ada kira-kira empat orang yang dibawa ke balai termasuk seorang daripadanya minggu lepas," kongsinya kepada Sinar Harian sewaktu tinjauan dijalankan pada Isnin.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya enam petugas ditempatkan ke lokasi itu untuk pemantauan dan kawalan 24 jam.

"Aktiviti itu setiap hari ada, kalau hujung minggu dan waktu malam lagi ramai. Hanya beberapa kerat saja orang kita, selebihnya warga asing termasuk orang Sulu, Filipina mengaku rakyat Sabah tapi tiada kad pengenalan.

Situasi terkawal di pekarangan Suria KLCC sewaktu tinjauan pada Isnin.

"Mereka ada dua kumpulan, ada kes bergaduh sesama mereka. Sebelum ini hanya menjaja barang mainan, lens dan cermin mata, cuma dua tahun kebelakangan ni, aktiviti juru foto berbayar ini semakin berleluasa," katanya.

Dakwanya, angka jurugambar bebas ini bukan sepuluh orang malah mencecah 100 orang yang bekerja mengikut giliran pagi dan malam.

"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada juga buat penguatkuasaan tapi bidang kuasa terhad tertakluk kepada peruntukan undang-undang.

"Nak tangkap hari-hari pun tak boleh sebab setiap hari mereka ada. Kita pasang papan tanda larangan menjaja pun dicabut," katanya.

Sementara itu, seorang pelancong daripada Sumatera Indonesia, Supriadi Ansari,32, berkata, situasi tersebut perlu dikawal kerana menyebabkan pelancong tidak selesa dan rimas.

"Saya tidak gunakan kemudahan tersebut kerana lebih senang mengambil gambar sendiri.

Situasi terkawal di pekarangan Suria KLCC sewaktu tinjauan pada Isnin.

"Walaupun servis yang ditawarkan bukan paksaan namun tetap tidak bagus kerana menyebabkan gangguan dan tidak selesa pengunjung apabila jumlahnya terlalu ramai,"' katanya.

Sementara itu, orang awam yang ditemui, Mohd Othman Abdul Kadir, 31, berkata, keadaan di lokasi dilihat terkawal kemungkinan disebabkan berkunjung pada waktu bekerja.

"Ada beberapa yang tawar nak ambilkan gambar tapi saya tolak dengan baik dan dia pun beredar.

"Sebaiknya jika mahu tawar khidmat ini, buat secara betul-betul, ada permit dan dikawal jadi kita sebagai pengguna pun rasa lebih yakin.

"Ini kerana sekarang banyak kes dilaporkan, kita bimbang jika gambar yang diambil ini disiarkan tanpa kebenaran atau disalah guna, membawa masalah kepada kita di kemudian hari," katanya," menurut pekerja swasta yang datang bercuti dari Kedah.

Seorang lagi pengunjung, Fazlina Dia, 31 berharap, kawalan dilakukan dengan mengehadkan pengeluaran permit untuk aktiviti itu.

"Kalau terlalu ramai pastinya akan mengundang rasa tidak selesa kepada pengunjung.

"Langkah itu bagi mengelak berlaku kes mengambil kesempatan atau scam kepada pelancong yang boleh menjejaskan nama baik negara," katanya.

Seorang lagi pengunjung dari Perak, Fazleeni Halim, 46, berkata, dia didatangi beberapa individu menawarkan khidmat mengambil gambar dengan caj RM5 ke RM10.

"Saya tidak gunakan khidmat itu kerana tidak mahu menggalakkan aktiviti itu terus berleluasa.

"Ia tidak sesuai dan orang luar akan melihatnya sebagai tidak profesional umpama ulat tiket yang beroperasi secara tidak sah dan sepatutnya dikawal," katanya.

Terdahulu tular dakwaan pengunjung tidak dibenarkan mengambil gambar menggunakan sendiri selain menggunakan perkhidmatan jurugambar di sana.

Pengunjung tersebut juga mendakwa mereka dihalau dari lokasi selepas didakwa mengganggu bisnes mereka.