SUNGAI PETANI - Satu video yang memaparkan tindakan tiga lelaki disyaki sedang mencuri kabel tular di media sosial menyebabkan suspek dikesan pihak polis pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Wan Azharudin Wan Ismail mengesahkan, salah seorang daripada suspek telah ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, tangkapan dibuat sejurus maklumat diperolehi daripada rakaman gambar dan video yang tular.
"Polis baharu sahaja tangkap seorang suspek, sekitar Sungai Petani...termasuk rampasan barang kes serta sebuah kereta.
"Tangkapan dibuat berdasarkan pengecaman nombor pendaftaran kenderaan. Kita sedang mencari dua lagi suspek,"katanya.
Sebelum ini tular di media sosial, video berdurasi 23 saat serta gambar yang memaparkan tentang tiga lelaki berpakaian gelap sedang memunggah barangan ke dalam but kenderaan.
Video dan gambar berkenaan turut dimuat naik bersama keterangan gambar berbunyi"Katanya geng ni curi kabel sekitar jam 8 pagi di tengah pekan Sungai Petani (depan bangunan UMNO)".
Ia bagaimanapun telah dikongsi di beberapa platform media sosial menyebabkan tular hanya selepas beberapa jam dimuat naik.