TEL AVIV - Kerajaan 'ekstremis' Israel digemparkan dengan penahanan bekas jurucakap Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu kerana didakwa membocorkan dokumen sulit yang berisiko menjejaskan rundingan perjanjian pertukaran tahanan di Gaza.
Jurucakap mahkamah di bandar Rishon LeZion pada Ahad mengesahkan Eliezer Feldstein diberkas bersama tiga individu lain termasuk pegawai keselamatan.
Pembongkaran kes itu telah mencetuskan tanda tanya kepada puak pembangkang sama ada Netanyahu turut bersubahat dalam perkara tersebut.
Sebelum ini, pengkritik menuduh pemimpin tersebut sengaja mencari helah untuk menggagalkan rundingan gencatan senjata bagi melancarkan perang yang panjang demi membodek pakatan haluan kanan yang bergabung dengan Parti Likud pimpinannya.
Difahamkan, agensi keselamatan domestik dan tentera melancarkan siasatan insiden kebocoran itu pada September lalu setelah dua akhbar asing menerbitkan artikel berdasarkan kandungan dokumen sulit tersebut.
Pemimpin utama pembangkang, Yair Lapid berkata, skandal yang menghimpit pejabat Netanyahu perlu diambil serius semua pihak.
"Ia berpunca dari pejabat Perdana Menteri dan siasatan menyeluruh perlu menentukan sama ada ia adalah berdasarkan arahan Netanyahu atau tidak," ujarnya sambil menambah sekutu pemimpin 'ekstremis' itu turut memalsukan dokumen rahsia untuk menjejaskan usaha pembebasan baki tahanan di Gaza dan membina kempen media terhadap keluarga tebusan.
Seorang lagi tokoh pembangkang, Benny Gantz juga senada dengan Lapid.
"Ia jelas berniat mahu mengaut keuntungan dengan rahsia negara untuk tujuan politik," sindirnya.
Pada Jumaat lalu, Netanyahu menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa dokumen yang diterbitkan akhbar Bild di Jerman itu kononnya tidak pernah sampai di meja pejabatnya. - AFP