40 usahawan lawat Karangkraf, rancang aktiviti perkasa golongan wanita

Iklan
Seramai 40 usahawan dari Gabungan Persatuan Usahawan Wanita Malaysia bergambar bersama Firdaus (lapan dari kanan) ketika mengadakan lawatan ke Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam pada Isnin.

SHAH ALAM - Seramai 40 usahawan dari Gabungan Persatuan Usahawan Wanita Malaysia mengadakan lawatan ke Kompleks Kumpulan Media Karangkraf bagi mengenali dan memahami operasi produk syarikat berkenaan termasuk akhbar Sinar Harian.

Pengerusinya, Datuk Azlin Ahmad Shaharbi berkata, kejayaan yang dicapai oleh Kumpulan Media Karangkraf itu sangat membanggakan kerana masih mampu mengembangkan perniagaan meskipun media cetak mengalami cabaran dengan perkembangan teknologi.

Iklan
Iklan
Azlin

Menurutnya, bukan mudah untuk bertahan dalam perniagaan penyiaran sekiranya tidak tahu menguruskan cabaran dan berinovasi mengikut trend semasa.

"Oleh itu, saya berasa amat bangga dengan Karangkraf, pelbagai aktiviti yang diceburinya termasuk terbitan dan percetakan surat khabar, al-Quran, buku serta sebagainya.

Iklan

"Saya dan sahabat yang lain juga gembira apabila diberi peluang untuk mengadakan sesi 'fireside chat' bersama Pengerusi Karangkraf. Banyak ilmu yang kami dapat menerusi ruang perkongsian itu.

"Apa yang lebih mengujakan ialah beliau seorang wanita. Saya bangga dengan beliau kerana mampu meneraju sebuah syarikat walaupun masih muda," katanya.

Iklan

Tambah Azlin, kerjasama yang terjalin itu diharap tidak akan berhenti pada pertengahan jalan memandangkan banyak perkara atau aktiviti yang boleh dilakukan bersama Karangkraf.

Beliau memberi contoh, program untuk meningkatkan prestasi wanita dan juga kesedaran mengenai semangat kesukarelawan dalam kalangan mereka.

"Jadi saya rasa mungkin boleh buat satu program untuk menyedarkan generasi baharu untuk menjadi sukarelawan," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang cadangan atau kerjasama dengan mereka sebagai sokongan kepada usahawan wanita.

"Kita sokong mana-mana aktiviti untuk pemerkasaan golongan wanita. Ramai kata wanita lemah namun hakikatnya mereka mempunyai potensi dan mampu ubah landskap keusahawanan itu sendiri.

"Selain itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rombongan dari Gabungan Persatuan Usahawan Wanita Malaysia kerana sudi hadir ke tempat kami, saya dengar ada yang datang dari Johor," katanya.