DUA jaringan Dani Olmo memacu kemenangan Barcelona ketika membenam Espanyol 3-1 sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam carta La Liga menerusi kelebihan sembilan mata dengan pencabar terdekat, Real Madrid.
Kemenangan tersebut juga melebarkan keputusan tanpa kalah ke atas tetangga Catalan itu kepada 27 perlawanan.
Raphinha turut meledak satu gol untuk membantu skuad bimbingan Hansi Flick mengutip 33 mata.
Real Madrid tidak beraksi di Valencia hujung minggu ini selepas perlawanan ditunda akibat banjir di daerah itu.
"Kami mara langkah demi langkah, ia sangat penting untuk terus menang. Kami mengharungi minggu yang baik.
"Espanyol tidak datang ke sini untuk memberikan kami apa-apa, tetapi kami berjaya meraih tiga mata, jadi misi tercapai," kata Olmo.
Barcelona yang membelasah Real Madrid 4-0 hujung minggu lalu, terlepas peluang untuk kemenangan bersih selepas dibolosi Javi Puado, dengan da gol Espanyol dibatalkan Video Bantuan Pengadil (VAR) kerana ofsaid.
Mereka akan berkunjung ke laman Red Star Belgrade untuk aksi Liga Juara-Juara Eropah pada Rabu ini.
"Aksi babak kedua agak hambar, namun saya boleh menerimanya kerana mereka sudah melakukan tugas dengan baik setakat ini. Bagaimanapun pada Rabu, kami perlu tampil lebih baik," kata Flick.