JEMPOL- Polis menahan seorang lelaki selepas didakwa mencabul kakak iparnya dalam kejadian di sebuah rumah di Felda Palong 11 bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa yang berusia 26 tahun dan sudah berkahwin itu dicabul oleh suspek di dalam sebuah bilik ketika berada di rumah mentuanya dalam kejadian jam 6 petang.
Menurutnya, suspek berusia 24 tahun yang juga merupakan penoreh getah dikatakan masuk ke dalam bilik sebelum mencabul mangsa.
"Siasatan lanjut mendapati mangsa sudah berada di rumah mentuanya itu sejak sebulan lalu dan selepas mencabul mangsa suspek kemudian keluar dari rumah dengan menunggang motosikal.
"Mangsa mendakwa sebelum ini suspek tidak pernah mengganggunya dan ini merupakan kejadian kali pertama," katanya pada Isnin.
Chang Hoo berkata, ketika kejadian hanya mangsa yang berada di rumah manakala ahli keluarga lain keluar bersiar-siar.
Katanya, suspek kemudiannya ditangkap polis pada jam 12.45 tengah hari Isnin di hadapan sebuah rumah di Bahau.
"Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan permohonan reman akan dibuat esok manakala kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan," ujarnya.