GUA MUSANG – Seekor harimau kumbang yang mencederakan lembu ternakan ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di HR Plantation Kuala Koh, di sini pada Ahad.
Pengarah Perhilitan Negeri Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian berkenaan pada Sabtu lalu.
"Bertindak atas aduan tersebut, kakitangan Jabatan Perhilitan Daerah Gua Musang menjalankan siasatan dan memasang seunit perangkap harimau kumbang di lokasi berkenaan.
"Pada Ahad lalu, harimau kumbang itu memasuki perangkap,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, dalam kes berasingan seekor beruang matahari turut ditangkap pada Sabtu selepas memasuki perangkap yang dipasang di Kampung Sungai Pas, Kuala Krai.
"Perangkap dipasang selepas mendapat aduan seekor beruang matahari berkeliaran di sekitar kebun di kampung itu pada Khamis lalu.
"Tangkapan kedua-dua hidupan liar ini sedikit sebanyak melegakan penduduk di kawasan terlibat seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan kerana kemusnahan tanaman dan ternakan setempat,” ujar Mohamad Hafid.
Tambah beliau, operasi pemindahan dan pelepasan semula haiwan-haiwan itu ke habitat yang lebih sesuai serta selamat akan dijalankan dalam masa terdekat.
Operasi akan melibatkan kakitangan Jabatan Perhilitan Daerah Kuala Krai dan Gua Musang.
Beliau turut menasihatkan penduduk khususnya pekebun dan peladang supaya mengambil langkah-langkah mitigasi bagi mengurangkan konflik melibatkan hidupan liar.
"Sentiasa berteman semasa ke kebun dan tidak memasuki kawasan itu pada waktu malam selain kerap membersihkan kebun dan tidak dibiarkan semak samun serta memasang lampu serta pagar di sekeliling rumah atau kandang,” ujarnya.