Guru rugi lebih RM80,000 terpedaya kerja sambilan

Iklan
Seorang guru wanita kerugian lebih RM80,000 selepas terpedaya dalam urusan peluang pekerjaan sambilan tidak wujud di sebuah laman sosial dua bulan lalu. Gambar hiasan. Gambar kecil: Hoo Chang Hook

JEMPOL - Seorang guru wanita kerugian lebih RM80,000 selepas terpedaya dalam urusan peluang pekerjaan sambilan tidak wujud di sebuah laman sosial dalam kejadian di Batu Kikir di sini dua bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian berlaku pada 8 September lalu lebih kurang jam 10 pagi semasa pengadu berusia 56 tahun melayari laman X dan berminat dengan tawaran pelaburan akaun digital.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengadu kemudiannya berhubung dengan Kanza Kamila melalui Telegram kanza_kamila25, sebelum meneruskan dengan Mohd Azrin Iman melalui Telegram mohazriniman.

"Hasil siasatan lanjut, mendapati pengadu telah terpedaya dalam urusan peluang pekerjaan sambilan tidak wujud yang di iklankan dan berhubung melalui aplikasi Telegram.

Iklan

"Pengadu kemudiannya diarahkan membuka satu akaun digital untuk semakan keuntungan, dan perlu selesaikan beberapa tugasan kerja bagi mendapatkan keuntungan. Bagaimanapun sebelum itu pengadu perlu membuat beberapa pembayaran bagi meningkatkan jumlah point hasil kerja tugasan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Chang Hook berkata, pengadu sebelum ini ditawarkan tugasan untuk memasukkan wang ke akaun digital kemudian mendapat keuntungan apabila pengadu menyelesaikan tugasan.

Iklan

"Setiap kali pengadu mahu mengeluarkan wang, pelbagai alasan digunakan dan kemudian meminta pengadu buat bayaran lagi.

"Semua transaksi dilakukan secara dalam talian dan setelah rasa tertipu pengadu kemudiannya membuat laporan polis,"katanya

Tambahnya, pengadu yang mempunyai lima anak itu telah membuat 13 transaksi ke pelbagai akaun bank yang diberikan sehingga menyebabkan pengadu mengalami kerugian sebanyak RM80,111 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.