Pemimpin Sudan buat rombakan di tengah-tengah peningkatan konflik

Iklan
Abdel Fattah al-Burhan - Foto: AFP

PORT SUDAN - Pengerusi Majlis Kedaulatan Peralihan Sudan, Abdel Fattah al-Burhan, melakukan rombakan kabinet di tengah-tengah konflik yang semakin memuncak pada Ahad, menurut kenyataan majlis itu, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan itu, Al-Burhan memecat Hussein Awad daripada jawatannya sebagai Menteri Luar dan melantik Ali Yousif Ahmed sebagai penggantinya.

Iklan
Iklan

Graham Abdel-Qadir digugurkan daripada jawatannya sebagai Menteri Kebudayaan dan Penerangan dan Khalid Ali Aleisir dilantik ke jawatan itu.

Sebagai komander Angkatan Bersenjata Sudan (SAF), al-Burhan menggantikan Menteri Hal Ehwal Agama dan Wakaf Osama Hassan dengan Omer Bakhit Mohamed Adam.

Iklan

Pengerusi majlis itu juga mengisi jawatan Menteri Perdagangan dan Bekalan yang lama kosong dengan melantik Omer Ahmed Mohamed Ali.

Sejak April 2023, Sudan dilanda konflik sengit antara SAF dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF). Laporan Projek Data Lokasi dan Peristiwa Konflik Bersenjata (ACLED) yang dikeluarkan pada 14 Oktober menunjukkan, pertempuran meragut lebih 24,850 nyawa.

Iklan

Konflik itu juga menyebabkan lebih 14 juta orang kehilangan tempat tinggal, baik di dalam mahupun di luar Sudan, menurut anggaran terkini daripada Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi pada 29 Oktober. - Bernama