Bersatu bincang kekosongan kerusi Dun Semenyih

Iklan

SHAH ALAM - Bersatu Selangor akan mengadakan perbincangan berhubung kekosongan kerusi Dun Semenyih dalam waktu terdekat.

Ia berikutan kematian Adun Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor yang meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung pagi tadi.

Iklan
Iklan

Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari, berkata pihaknya akan menyelesaikan urusan berkaitan Allahyarham terlebih dahulu sebelum mengambil langkah seterusnya berhubung kekosongan kerusi Dun itu ketika ini.

Pimpinan parti itu di Selangor akan mengadakan mesyuarat berhubung kekosongan kerusi tersebut dalam masa terdekat.

Iklan

"Kita akan adakan mesyuarat dalam sehari dua ini untuk bincangkan tindakan patut diambil selepas kematian Allahyarham.

"Kita akan kemukakan bakal-bakal calon berpotensi untuk menang dan akan cuba sedaya upaya pertahankan kerusi Semenyih di bawah Bersatu. Apa pun keputusan dibuat di peringkat negeri akan diserahkan kepada pucuk pimpinan di peringkat Pusat untuk dimuktamadkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini. Pada PRU14, PH mempertaruhkan calon daripada parti Bersatu bagi kerusi Dun Semenyih.

Iklan

Allahyarham Bakhtiar yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat memperoleh 23,428 undi menentang lawannya daripada BN, Datuk Johan Abd Aziz dengan majoriti 8,964 undi.

Sementara itu, Selangor bakal menghadapi PRK kali keempat selepas PRU14, Mei tahun lalu.

Sebelum ini, PRK diadakan di tiga Dun termasuk Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia selepas kematian penyandangnya. PRK Dun Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu.

Pertandingan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PH, BN dan Bebas. Mohd Zawawi Ahmad Mughni (PH) memperoleh 15,427 undi menewaskan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam, yang mendapat 9,585 undi dan calon Bebas, K Murthy (97 undi). PRK Dun Balakong dan Seri Setia pula diadakan serentak pada 8 September lalu berikutan kematian penyandang kedua-dua Dun, mendiang Eddie Ng Tien Chee dan Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin .

Di Balakong Wong Siew Ki (PH) menang bergaya dengan majoriti 18,533 undi menentang calon lawannya, Tan Chee Teong (MCA) manakala di Seri Setia, calon PH, Halimey Abu Bakar, bertembung dengan calon PAS, Dr Halimah Ali Halimey menang dengan majoriti 4,027 undi. Ketika ini, 51 daripada 56 kerusi Dun di Selangor kekal milik PH.

Manakala BN dan Pas masing-masing hanya memperoleh empat dan satu kerusi.