KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan seorang rakyat tempatan yang dokumen peribadi miliknya ditemukan di medan peperangan antara Ukraine dan Rusia, berkhidmat sebagai tentera upahan asing.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihak polis telah menerima maklumat lelaki berusia 20 tahun itu masih hidup dan berada dalam keadaan selamat di Ukraine.
"Risikan yang dijalankan juga mendapati lelaki itu telah memohon secara dalam talian untuk menyertai tentera Ukraine dan berperang dengan tentera Rusia.
"Siasatan mendapati lelaki terbabit berada di Ukraine sejak April lalu dan menjalani latihan ketenteraan.
"Faktor yang mendorong lelaki itu untuk menyertai perang di Ukraine adalah kerana minat dalam ketenteraan dan tawaran gaji antara AS400 (kira-kira RM1,700) hingga AS2,700 (kira-kira RM12,000) sebulan mengikut tahap bahaya di medan perang," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Razarudin berkata, selain itu tekanan daripada keluarga turut dipercayai faktor penyebab lelaki itu sanggup menjauhkan diri daripada keluarganya sehingga mencari pekerjaan di luar negara.
"Semasa serangan dron Rusia berlaku pada pertengahan Oktober lalu, lelaki itu dilaporkan cuba lari menyelamatkan diri, namun kad pengenalan dan lesen memandunya telah tercicir manakala pasportnya masih berada bersamanya," katanya.
Beliau berkata, difahamkan individu itu tidak memiliki akaun media sosial seperti Facebook dan Instagram kerana tidak berminat dengan aktiviti media sosial.
"Sebaliknya, dia suka bermain permainan dalam talian berbentuk peperangan dan amat berminat menjadi tentera," katanya.
Pada Jumaat, media melaporkan polis masih menunggu maklum balas Kedutaan Rusia termasuk dakwaan lelaki itu adalah tentera upahan dalam konflik Ukraine dan Rusia.
Baru-baru ini, tular penemuan dua keping gambar menunjukkan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemui di medan perang di Livadny, Zaporizhia, Ukraine.
Ada dakwaan di media sosial, ia milik seorang rakyat Malaysia yang tidak dapat dipastikan statusnya, sama ada terbunuh atau ditahan tentera Rusia.
Dikatakan, kedua-dua dokumen itu ditemui selepas tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Livadny.
Lelaki berkenaan kononnya dikatakan terbabit sebagai tentera upahan dalam '16th Rifle Batallion Ukraine' yang berdepan dengan tentera Russia di Ukraine.
Lesen memandu itu milik seorang individu itu dilihat beralamat di Padang Besar, Perlis dan masih sah sehingga Februari 2025.