SEMPORNA - Polis daerah ini mengesahkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut akibat diserang anjing liar dalam kejadian di Kampung Sungai Tohok pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Sabri Zainol berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna terkesan dengan penularan video tersebut di media sosial.
"Video itu memaparkan seorang kanak-kanak terbaring dalam keadaan tanpa pakaian dan berlumuran darah serta terdapat kesan gigitan.
"Berkaitan kejadian tersebut, IPD Semporna menerima laporan pada jam 10.33 pagi Ahad, melibatkan seorang kanak-kanak lelaki warga tempatan berusia dua tahun tujuh bulan maut akibat diserang anjing liar," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya lagi, susulan kejadian itu pihaknya telah membuka kertas siasatan yang diklasifikasi sebagai mati mengejut.
"Mayat mangsa telah dibedah siasat yang dijalankan pada hari ini di Jabatan Forensik Hospital Besar Tawau," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Sabri menasihatkan orang ramak supaya tidak menyebarkan video tersebut bagi menjaga sensitiviti ahli keluarga mangsa.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan IPD Semporna akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan operasi anjing liar bagi menjamin keselamatan masyarakat setempat.
Sebelum itu, satu video berdurasi 55 saat tular di aplikasi WhatsApp memaparkan seorang kanak-kanak lelaki ditemui terbaring di tepi jalan dipercayai diserang haiwan liar.