KUALA TERENGGANU - Potret tujuh Perdana Menteri Malaysia yang diabadikan menerusi lukisan mural di dinding Dewan Tunku Abdul Rahman di sini bakal menjadi daya tarikan pada bangunan berkenaan.
Mural setinggi 1.1 x 0.65 meter persegi itu merupakan hasil lakaran empat ahli Kelab Red Rebel Art Squad Terengganu iaitu Raja Badruddin Hakim Shah Raja Kamarul Bahrin, 33, Mohd Fahmi Abdullah Sani, 30, Zulkarnain Abd Latif, 40 dan Wan Asri Nizam Wan Ismail, 37.
Raja Badruddin Hakim Shah berkata, mural yang menggunakan elemen hitam putih berukuran 3.65 meter dengan anggaran 2.13 meter lebar itu adalah kesinambungan daripada projek mural Jalur Gemilang dan bendera Terengganu pada bumbung Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) yang dilaksanakan tahun lalu.
Katanya, hasil karya di bawah projek mengindahkan semula itu menelan kos sebanyak RM30,000 yang dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
"Cadangan pengindahan semula ini daripada pihak MBKT selepas selesai projek bumbung SSINS tahun lalu. Kami mengemukakan idea mengindahkan Dewan Tunku Abdul Rahman kerana ia bangunan bersejarah yang dirasmikan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang kemudiannya diberi nama Dewan Tunku Abdul Rahman sempena nama Bapa Kemerdekaan," katanya.
Katanya, mereka memulakan projek itu pada 9 Januari lalu dan mengambil masa selama 27 hari untuk siap sepenuhnya.
"Keadaan cuaca akan memberi kesan terhadap tempoh masa bagi sesuatu projek namun Alhamdulillah sepanjang projek ini kami hanya terpaksa bercuti selama beberapa hari sahaja kerana hujan.
"Tambahan pula, tempoh bekerja sekitar jam 3 petang hingga 10 atau 11 malam," katanya.
Raja Badruddin Hakim Shah berkata, beberapa karya yang pernah dihasilkan ialah lukisan di lorong Kampung Cina pada 2014 hingga 2016 dan mural pada bahagian sisi bangunan kedai lama di Jalan Banggol pada 2017.
Bagaimanapun beliau mengakui bertuah kerana berpeluang menjayakan dua projek iaitu bumbung SSINS dengan lukisan mural bendera gergasi bersaiz 8.36 x 3.7 meter persegi dan lukisan tujuh potret pemimpin negara itu.
Anak kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad itu berkata, sebagai pencinta sejarah, dia bersifat sentimental terhadap sesuatu yang bernilai sejarah.
"Lagipun stadium ini diberi nama sempena nama Almarhum moyang saya yang telah menjaga serta mendidik ayahanda saya menjadi orang yang hebat dan terhormat pada pandangan saya.
"Sekurang-kurangnya dapat juga saya menyumbang tenaga dan kepakaran yang ada untuk menambah baik, walaupun tidaklah sebesar mana," katanya.
Katanya dia juga berasa amat bertuah kerana diberikan peranan untuk 'memakaikan' tengkolok pada potret Tunku Abdul Rahman.
"Kalau dilihat pada semua potret ini, Tunku Abdul Rahman satu-satunya yang memakai busana Melayu sejajar dengan jasa beliau sehingga mengisytiharkan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
"Ini merupakan salah satu mesej pada saya sendiri dalam memperingatkan generasi akan datang terhadap jati diri kita sendiri yang Melayu, Islam dan berkhalifah (Raja).
"Saya harap monumen seperti ini dapat memberi kesedaran dan kepentingan sejarah kepada pembentukan Malaysia di samping membuka pintu rezeki buat penggiat seni lain yang ada di Terengganu untuk menyumbang serta mengekspresikan rasa cinta mereka kepada agama, bangsa dan negara walaupun dalam kepelbagaian fahaman dan perbezaan ideologi politik," katanya.