Hari-hari ada orang beli emas - Peniaga

Iklan
Syarafina Atirah menunjukkan sebahagian koleksi emas dijual di Kedai Emas Seri Pekan. Gambar kecil: Ku Mohd Fikri dan Ridhuwan

ALOR SETAR - Peningkatan harga emas yang dijangka mencecah RM500 pada hujung tahun depan menyebabkan trend membeli emas kekal stabil dan meningkat di kawasan luar bandar manakala di kawasan bandar pula berkurangan.

Pemilik Kedai Emas Tun Emas Sendirian Berhad, Ku Mohd Fikri Hanif berkata, Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) dan Konflik Asia Barat mempengaruhi kenaikan harga emas hingga paras tertinggi sejak Rabu lalu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, BRICS juga didapati mempengaruhi kenaikan harga emas apabila harga mencapai RM370 per gram pada Rabu lalu dan naik lagi RM2 kepada RM372 per gram pada Khamis.

"Alhamdulillah trend membeli stabil dan meningkat di kawasan luar bandar disebabkan ada yang mengatakan harga emas mencecah RM500 hujung tahun depan.

Iklan

"Di kawasan luar bandar, hari-hari ada pelanggan disebabkan ramai dengar khabar angin akan berlaku kenaikan hingga mencecah RM500 hujung tahun depan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, masih ada pelanggan datang membeli seperti biasa kerana beranggapan tempoh ini masa terbaik untuk membeli emas berbanding tahun depan.

Iklan

Ku Mohd Fikri berkata, antara faktor lain mempengaruhi pembelian emas adalah harga upah pembuatan barang kemas juga mungkin meningkat 30 peratus pada tahun hadapan.

"Pada hujung tahun setiap tahun akan ada peningkatan kadar upah, sebagai contoh tahun ini kadar upah dikenakan adalah RM100, namun tahun depan akan naik lagi kadar upah 30 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendapati pembeli di kawasan luar bandar terus memanfaatkan situasi ini dengan membeli emas pada tahun ini.

Seorang pekerja kedai emas melayan pelanggan datang ke Kedai Emas Tun Emas Sendirian Berhad.

"Di kawasan luar bandar terutamanya Kuala Nerang, jualan hari-hari ada dan jikalau tidak ada jualan sekali pun ada juga orang datang tolak emas lama (trade in). Selalunya apabila harga emas naik, orang tolak emas pun ramai,” katanya.

Peniaga Kedai Emas Seri Pekan Rabu, Syarafina Atirah Ponirin pula berkata, dia turut menerima makluman bahawa trend kenaikan harga logam berharga itu dijangka berterusan hingga mencecah RM500 tahun depan.

Menurutnya, harga emas 916 hanya sekitar RM300 per gram pada Oktober tahun lepas dan semakin meningkat sekarang ini.

"Dalam tempoh setahun, harga emas naik sebanyak RM80 dan trend ini dijangka naik lagi hingga mencecah RM500 tahun depan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Syarafina Atirah, trend membeli agak berbeza antara kawasan bandar dengan kawasan luar bandar susulan lonjakan harga emas semasa itu.

Menurutnya, peningkatan harga emas hingga paras tertinggi baharu pada Khamis menyebabkan jumlah pelanggan berkurangan dan kuasa membeli turut mengecil.

Syarafina Atirah menjelaskan, trend membeli mula berkurangan sejak April lepas hingga sekarang apabila tidak ramai pelanggan membeli emas.

"Hanya sekali sekala pelanggan masuk ke dalam kedai, itupun ada yang sekadar melihat dan tolak emas lama dengan barangan kemas baharu sahaja.

"Jikalau pelanggan tidak tolak emas lama dan ambil baharu, ada yang menjual emas untuk mendapatkan wang tunai disebabkan peningkatan harga emas ketika ini,” katanya.

Sementara itu, pemilik Kedai Emas dan Permata Farasha, Ridhuwan Mustafa berkata, harga emas diperingkat pengeluar mencecah RM370 untuk satu gram manakala harga jualan di kedai sebanyak RM410 untuk satu gram.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, pembelian emas didapati sangat kurang berikutan pembeli hanya datang untuk tolak emas lama dengan emas baharu.

Tambahnya, ada pemilik emas sedang menunggu harga melonjak ke paras yang lebih lebih tinggi.

"Apabila harga melonjak naik nanti, barulah mereka bercadang menjual memandangkan harga emas dijangka naik sehingga RM450 ke atas,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan harga emas mencecah paras tertinggi baharu berikutan ketidaktentuan yang menyelubungi pilihan raya Presiden AS, termasuk konflik di Asia Barat serta jangkaan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed).

Pada 2020, harga emas yang dilaporkan ialah RM199.69 satu gram dan ia terus mencatatkan peningkatan pada setiap tahun. Ini menjadikan ia naik sebanyak 86.3 peratus dalam tempoh sempat tahun.