SHAH ALAM - Penjualan tenaga gas asli (NGV) yang akan ditutup secara berperingkat sehingga Julai tahun hadapan memberi ruang kepada sekitar 10,000 pemandu teksi untuk melakukan pertukaran terhadap sistem berkenaan.
Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia (GTM), Kamarudin Mohd Hussain berkata, ia berikutan jaminan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan bahawa Petronas akan membayar pampasan RM3,000 berbentuk baucar bahan bakar petrol yang dapat meringankan beban untuk mengubah suai sistem NGV.
Iklan
Iklan
"Kami merasakan pengumuman yang dibuat menteri lebih bermaruah jika dibandingkan dengan tindakan syarikat minyak sebelum ini yang memberhentikan penjualan NGV di kebanyakan stesen secara senyap-senyap sehingga ramai ahli terkesan dan mengambil langkah menanggalkan sistem itu tanpa sebarang pampasan.
"Hari ini menteri juga memaklumkan Petronas akan menanggung segala kos pembukaan sistem NGV dan membayar pampasan RM3,000 dalam bentuk baucar bahan bakar petrol dan ini lebih baik daripada satu persatu stesen NGV ditutup dan ahli-ahli tidak menerima sebarang pampasan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, tambah Kamarudin, langkah kerajaan untuk menamatkan penjualan NGV sudah dijangka sejak tujuh tahun lalu kerana Petronas mengalami kerugian yang tinggi selain dibebani aspek keselamatan berikutan masalah alat ganti di pam mereka.
Ujarnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada pemandu teksi dengan subsidi petrol yang akan dilaksanakan kelak kepada industri perkhidmatan teksi.
"Cumanya kami tidak tahu bila kerajaan akan beri subsidi Petrol kepada teksi tetapi tempoh satu tahun penutupan NGV secara berperingkat-peringkat memberi ruang untuk kami melakukan perancangan mahupun rayuan kepada kerajaan,” katanya.