Isu pengambilan tanah, pengalihan utiliti punca utama kelewatan RTB - Fadillah

Iklan
Fadillah. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Proses pengambilan tanah yang memakan masa terlalu lama menjadi antara punca utama berlakunya kelewatan projek rancangan tebatan banjir (RTB) di negara ini khususnya di Pantai Timur.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, isu pengalihan utiliti juga turut menyumbang kepada masalah tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, secara keseluruhan terdapat 26 projek RTB di seluruh Pantai Timur dengan kos berjumlah RM8 bilion.

"Daripada jumlah tersebut, satu telah siap iaitu projek RTB Lembah Bertam, Cameron Highlands, Pahang. Manakala 10 projek masih dalam peringkat pra pelaksanaan. Daripada 10 itu, lima sudah diiklankan untuk tender dan lima lagi dalam proses reka bentuk.

Iklan

"Selain itu, 15 projek sedang dalam peringkat pelaksanaan. Satu mengikut jadual, manakala 14 mempunyai masalah pelaksanaan.

"Isu pengambilan tanah telah diselesaikan dan projek-projek telah mendapat pelanjutan tempoh kontrak contohnya Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 telah mendapat pelanjutan tempoh kontrak.

Iklan

"Isu pengalihan utiliti juga telah dapat diselesaikan dan sedang dalam fasa perjanjian di antara syarikat utiliti,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuki Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang memintanya menyatakan langkah drastik kerajaan dalam menyelesaikan kelewatan projek tebatan banjir dan kesan langsung daripadanya dalam menghadapi jangkaan banjir besar di seluruh negara, khususnya di Pantai Timur.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, berdasarkan status kemajuan terkini, semua projek dalam pelaksanaan dengan tiada projek lewat jadual atau sakit dilaporkan.

Menurutnya, aktiviti di tapak dan kerja-kerja pembinaan RTB juga sedang berjalan mengikut jadual.

"Berhubung dengan isu kelewatan projek-projek RTB, kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa melaksana dan memantau kemajuan projek mengikut Pekeliling Perbendaharaan, tatacara perolehan dan pentadbiran kontrak serta peraturan-peraturan berkuatkuasa.

"Mesyuarat tapak dan teknikal diadakan secara berkala untuk memastikan projek dilaksanakan mengikut jadual,” katanya.

Tegas beliau, mesyuarat ini juga mengenal pasti kemungkinan kelewatan pelaksanaan yang mungkin timbul daripada pihak kontraktor atau perkara lain di luar jangka seperti bencana dan sebagainya.