KUALA SELANGOR - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental dilaporkan hilang dari sebuah pusat jagaan orang tua di Ijok di sini pada Ahad.
Toupit Fadzil, 48, dikatakan tiba-tiba melarikan diri ke kebun kelapa sawit berdekatan pusat jagaan terbabit.
Adiknya, Bakhtiar Fadzil, 45, berkata, kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu berlaku semasa menghantar abangnya ke pusat jagaan itu selepas keluar makan di sebuah restoran di Ijok.
"Setelah selesai (makan), kami membawanya pulang semula ke pusat jagaan, namun sebaik sampai di pintu pagar pusat jagaan itu, abang terus ke belakang dan melarikan diri.
"Kami dapat mengesan abang dan berjaya mendapatkannya semula, tapi tidak sampai lima minit dia melarikan diri ke hutan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Bakhtiar memberitahu, sehingga kini, anak kedua daripada lima beradik itu masih belum ditemui menyebabkan mereka bimbang mengenai keselamatannya.
"Kali terakhir abang hilang memakai baju T berkolar berwarna hitam dan merah serta berseluar 'track'.
"Abang tidak pandai berkomunikasi dan hanya boleh cakap terima kasih jika ada memberi air atau makanan.
"Kami risau dia masih tidak ditemui lebih-lebih lagi jika tersesat dalam hutan dalam tempoh lama," ujarnya.
Jelas Bakhtiar, keluarganya turut menggerakkan usaha pencarian di beberapa lokasi sekitar Ijok dan Parit Mahang.
"Puas kami bertanya orang kampung dan kedai makan sekitar sini, namun tidak menemui sebarang petunjuk mengenai kelibatnya.
"Gerak hati saya kuat mengatakan abang masih dalam kebun kelapa sawit dan berharap dia dapat ditemui segera dalam keadaan selamat," katanya.
Menurut Bakhtiar, abangnya itu sebelum ini menetap bersamanya di Kampung Bukit Belimbing di sini, sebelum dimasukkan ke pusat jagaan itu pada Mei lalu.
Katanya, Toupit disahkan menghidap masalah mental sejak berusia enam bulan selepas mengalami demam panas.
"Abang masih bujang dan sifatnya pula suka tersenyum dan kadang-kadang minta makanan dan minuman setiap kali singgah di kedai makan.
"Kami juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Bestari Jaya kira-kira jam 9 pagi pada Ahad lalu," kata Bakhtiar.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubunginya di talian 019-3691011 atau 014-9230870 serta balai polis berhampiran.