GEORGE TOWN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang akan lebih aktif untuk mempergiatkan program kesedaran di peringkat sekolah dan universiti bagi memberi kesedaran terhadap gejala rasuah.
Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata, pendedahan mengenai bahaya dan kesan rasuah perlu diberikan bermula di peringkat awal agar ia tidak merebak apabila generasi muda mula memasuki alam pekerjaan.
Menurutnya, pendedahan awal akan membantu membentuk minda pelajar sejak usia muda mengenai nilai integriti, kejujuran dan tanggungjawab sosial.
"Dengan memahami implikasi rasuah, pelajar akan lebih cenderung mengamalkan nilai-nilai etika yang positif apabila mereka memasuki alam pekerjaan atau memegang jawatan penting kelak.
"Pendidikan mengenai rasuah di peringkat awal meningkatkan kesedaran mengenai betapa seriusnya kesan rasuah terhadap masyarakat dan negara.
"Pelajar yang dididik mengenai keburukan rasuah cenderung untuk menjadi individu yang lebih peka terhadap isu ini dan lebih berani untuk menolaknya apabila mereka menghadapinya," katanya di Auditorium Murad Md Noor Sains @USM Bukit Jambul di sini pada Selasa.
Beliau ditemui selepas merasmikan Forum Pengukuhan Tatakelola Madani dan Impaknya Kepada Masyarakat.
Forum tersebut dikendalikan oleh tiga panel iaitu Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr P Sivamurugan, Anggota Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah & Panel Semakan Operasi SPRM, Dr Mazlan Ahmad dan Timbalan Presiden 2 Pemerhati Rasuah Malaysia, Datuk Dr GP Doraisamy.
Mengulas mengenai forum tersebut, Mohd Fuad berkata, objektif Forum Pengukuhan Tatakelola Madani dan Impaknya Kepada Masyarakat merupakan salah satu platform dan pendekatan terbaik sebagai memupuk budaya antirasuah melalui agenda Tatakelola Madani yang dihayati serta diamalkan dalam segenap kehidupan masyarakat.
"SPRM sentiasa komited untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa di negara ini namun SPRM tidak boleh bergerak sendirian.
"Perjuangan memerangi rasuah memerlukan kerjasama semua pihak agar sama-sama menyokong usaha pencegahan jenayah rasuah dan perangi habis-habisan mereka yang terlibat dengan rasuah," tambahnya.
Jelasnya, selain program yang dijalankan, Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) yang diwujudkan di universiti diharap dapat membantu pelajar agar lebih memahami dan menerapkan semangat kebencian terhadap rasuah.
"Di peringkat sekolah, ada juga kita buat program kerana pendidikan di peringkat awal amat penting.
"Ini kerana generasi muda ini akan menjadi pelapis dan masa depan negara. Sebab itu perlu pendedahan awal, kita tidak mahu anak muda terjebak dengan gejala rasuah nanti," katanya.